Sekolah perlu segera terapkan penggunaan AI – PM



IPOH: Seluruh sekolah di negara ini digesa untuk mula menerapkan pengaplikasian teknologi kecerdasan buatan (AI) sejak awal seperti dilaksanakan di institusi pengajian tinggi dan universiti sekarang.

Perdana Menteri berkata, penubuhan fakulti, jabatan atau unit AI di universiti merentas semua disiplin sepatutnya turut diikuti sekolah supaya cepat dilengkapi penguasaan teknologi sama.

“Di universiti sekarang kita sudah ada fakulti AI dan jabatan universiti ada unit AI merentas semua disiplin. Jadi, saya harap sekolah juga cepat melengkapi (dengan teknologi AI) kerana kita tak boleh rancang lima tahun sebelum mula.

“Bila saya cadangkan sekolah, selain bahasa Melayu mesti cuba tingkatkan juga penguasaan bahasa Inggeris, ada (kalangan) kita katakan target (sasaran) tiga tahun. Tak boleh, kita kena mulai tahun itu juga. Kalau tak boleh 100 sekolah, mulakan dengan (sasaran) 50 sekolah.

“Harus ada keberanian bawa perubahan ini. Jadi saya hendak anak-anak faham,” katanya berucap pada Majlis Santunan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Parlimen Tambun di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Poi Lam, Klebang, hari ini.

Hadir sama ke majlis membabitkan penyerahan sumbangan bernilai keseluruhan RM1 juta untuk diagihkan kepada 2,000 pelajar sekolah sekitar Tambun itu adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan pengasas merangkap Penasihat Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, martabat pendidikan perlu diangkat dan tidak boleh berada di takuk lama termasuk kemampuan menguasai kepakaran digital serta AI yang dianggap teknologi masa hadapan.

Katanya, penerapan penguasaan teknologi itu juga perlu seiring dengan penerapan nilai disiplin yang lebih baik dengan menghindari gejala negatif di sekolah termasuk buli dan sikap perkauman.

“Masih ada laporan dari semasa ke semasa mengenai amalan buruk seperti buli, menghina, mencaci orang kerana warna kulit atau kaum. Ini bukan cara orang yang belajar.

“Saya ingatkan anak-anak, pupuk dari sekarang (supaya) lawan orang yang pandangannya sempit dan bodoh, (iaitu) mereka yang menilai orang dari segi warna kulit atau kaum. Kita menilai orang sama ada baik atau tidak dari segi ilmunya, adakah dia bawa kebaikan atau bawa keburukan.

“Masalah di negara kita sekarang, selain perpaduan adalah tenaga kerja yang mana kita ada syarikat AI, digital dan semikonduktor yang terkenal tetapi kalau kita masih kekalkan unjuran sedia ada, maka kita akan kekurangan 30,000 jurutera.

“Kita sudah ada Infineon (Infineon Technologies AG) iaitu syarikat semikonduktor terbesar dari Jerman yang masuk (melabur) di sini, begitu juga China yang menggalakkan syarikat besar melabur di Tanjung Malim.

“Semua itu memerlukan tenaga kerja, bakat baharu, profesional berkelayakan dan kamulah yang akan menentukan masa depan kita,” katanya.

Anwar turut mengingatkan pelajar sekolah tidak sombong dan angkuh dengan menghina serta membuli orang lain.

 

Previous Post Next Post