Sambutan Aidilfitri: KPM ingatkan sekolah tidak bebankan guru



PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan sebarang penganjuran sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah tidak seharusnya membebankan guru, murid dan warga sekolah secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata walaupun pihak sekolah dibenarkan merancang aktiviti perayaan, pelaksanaannya perlu mengambil kira tugas hakiki warga pendidik, selain persekitaran sekolah masing-masing.

Menurutnya, guru besar atau pengetua diberi autonomi untuk membuat keputusan berkait isu dasar termasuk penganjuran majlis sesuatu perayaan, berdasarkan kepada situasi dan kesesuaian sekolah.

“Ada lebih 10,000 sekolah (di seluruh negara) dan situasi di setiap sekolah mungkin berbeza… Oleh itu, bagi perkara sebegini, guru besar atau pengetua diberi autonomi untuk buat keputusan.

“Apa yang utama adalah semangat meraikan Aidilfitri atau apa-apa perayaan lain juga tercapai tanpa membebankan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan seorang ahli akademik yang menyarankan KPM menyediakan garis panduan khusus berkaitan jamuan dan sambutan Aidilfitri di sekolah.

Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangkitkan perkara itu selepas menerima rungutan beberapa guru yang merasakan terbeban dengan pelaksanaan sambutan raya yang terlalu besar sehingga menjejaskan fokus pengajaran.

Menurut beliau, walaupun sambutan perayaan adalah sesuatu yang baik dalam konteks perpaduan dan keharmonian, ia perlu dilaksanakan secara berpada-pada agar tidak mengganggu proses pembelajaran atau membebankan guru dengan tugas bukan akademik.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian dalam kalangan netizen dan warga pendidik yang menyuarakan keperluan untuk aktiviti luar bilik darjah dirancang dengan lebih seimbang serta diselaraskan dengan peranan utama guru sebagai pendidik.

 

Previous Post Next Post