KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membangkitkan tiga isu mendesak yang sudah lama berlarutan di sekolah rendah termasuk kebenaran guru penolong kanan gred DG12 bertukar tempat bertugas.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata dua isu lain ialah guru penolong (guru biasa) gred DG12 (Khas Untuk Penyandang atau KUP) diberi peluang untuk dilantik sebagai penolong kanan di sekolah rendah dan guru besar gred DG12 (KUP) tidak diturunkan sebagai guru penolong (guru biasa di sekolah) apabila naik gred ke gred DG13 dan DG14 secara 'time based'.Atas dasar itu katanya, Majlis Eksekutif NUTP merayu supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meneliti dan menyelesaikan segera isu terbabit kerana ia sudah lama berlarutan di sekolah.
"NUTP mengadakan beberapa perbincangan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini, namun kami dimaklumkan hanya JPA sahaja mempunyai kuasa untuk memberikan kebenaran atas perkara dibangkitkan itu.
"Isu berkenaan juga saya bangkitkan dalam ucapan semasa Sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan NUTP yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dalam ucapan balas beliau pada hari itu, Perdana Menteri memberikan tempoh selama dua minggu kepada pihak JPA untuk meneliti perkara dibangkitkan itu.
"Malangnya, hingga hari ini, masih belum ada sebarang perkembangan ke arah penyelesaian isu berkenaan," katanya melalui satu kenyataan.
Tiga isu itu dibincangkan melalui Mesyuarat Majlis Eksekutif NUTP kali kelima yang diadakan semalam.
Pada masa sama, Aminuddin berkata, bagi isu pertama, terdapat guru penolong kanan sekolah rendah gred DG12 yang ketika dilantik sebagai guru penolong kanan dahulu masih berada pada gred DG10 dibekukan pergerakan atau pertukaran.
Beliau berkata, mereka perlu berada di sekolah sekarang dan tidak boleh bertukar tempat bertugas walaupun ada keperluan mendesak.
"Mereka perlu berada di sekolah semasa tanpa ada had masa. Dalam hal ini, pertukaran mereka tidak boleh dibuat oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) walaupun ada keperluan mendesak dalam aspek keperluan perkhidmatan atau dalam aspek kebajikan guru tersebut sendiri.
"NUTP merayu supaya kebenaran diberikan kepada guru penolong kanan gred DG12 ini untuk bertukar tempat bertugas jika ada keperluan," katanya.
Aminuddin berkata, bagi isu kedua pula, jawatan penolong kanan di sekolah rendah hanya dibuka kepada guru gred DG 6 (KUP), DG7 (KUP), DG9, dan DG 10 (KUP).
Katanya, ia menghalang guru DG 12 (KUP) yang berpengalaman dan berkebolehan untuk dilantik sebagai penolong kanan di sekolah rendah.
"Sedangkan sekarang sebahagian besar guru yang ada di sekolah rendah adalah terdiri daripada guru siswazah yang bergerak kenaikan gred mereka secara 'time-based' daripada gred DG9 ke DG10 (KUP) dalam masa lapan tahun dan naik ke gred DG12 dalam tempoh masa sama.
"Sehubungan itu, NUTP merayu supaya pihak JPA memberikan kelulusan untuk KPM untuk membuat pelantikan ke jawatan guru penolong kanan kepada guru penolong (guru biasa) yang berada pada gred DG 12 ini," katanya.
Aminuddin berkata, bagi isu ketiga, isu timbul apabila melalui peraturan semasa, guru besar yang naik gred ke DG13 perlu ditukarkan kepada jawatan guru biasa.
Katanya, hal ini akan menjatuhkan maruah guru besar terbabit kerana diturunkan sebagai guru biasa hanya kerana naik gred.
"KPM akan kerugian dari segi kepakaran mengurus dan mentadbir sekolah kerana guru besar yang berpengalaman diturunkan sebagai guru biasa.
"Walaupun setakat ini belum ada guru besar gred DG13 yang diturunkan sebagai guru biasa, namun kedudukan mereka terancam kerana risiko untuk diturunkan sebagai guru biasa boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja," katanya.