KANGAR: Seorang murid Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di pinggir bandar Kangar, dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah di sini, hari ini, berikutan mengalami sawan dipercayai selepas menghisap vape.
Kejadian berlaku sekitar jam 9.35 pagi apabila murid itu bersama dua rakan didakwa keluar kelas tanpa kebenaran guru ketika menduduki peperiksaan kertas Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.
Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin, berkata ketika seorang guru lain mengambil alih tugasan mengawas dalam kelas itu, mangsa dikatakan dipapah masuk oleh dua rakan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mulut berbuih.
"Guru bertugas segera melaporkan perkara itu kepada pentadbir sekolah sebelum menghubungi pihak ambulans serta waris murid itu untuk membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah bagi rawatan lanjut.
"Hasil siasatan awal kita mendapati murid itu dipercayai menghisap vape bersama rakan di dalam tandas sekolah kira-kira jam 9.30 pagi.
"Namun buat masa ini, jenis vape terbabit belum dapat dikenal pasti oleh pegawai perubatan, dan kita membantu pihak sekolah menyediakan laporan awal," katanya.
Beliau berkata, murid itu kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, dan pihaknya sudah mengarahkan guru disiplin serta kaunselor sekolah ke hospital itu untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Jabatan pula menjalankan tindakan memaklumkan kepada keluarga murid terbabit dan menghubungi pihak ambulans.
"Selain itu, pihak sekolah menghantar laporan awal kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Perlis," katanya.