Guru prasekolah maut selepas kereta bertembung lori sawit

 


ROMPIN - [DIKEMAS KINI] Seorang guru prasekolah maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 104, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Ladang Teh Dara pada Rabu.

Mangsa, Maryam Nabilah Muzammil, 26, yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Bukit Serok, Muadzam Shah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


  

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mandoi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 2.30 petang.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pemandu kereta jenis Perodua Bezza dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Muadzam Shah.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang membawa muatan biji sawit dari arah Muadzam Shah menghala ke Segamat.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan dengan itu, Sharif Shai meminta orang awam yang menyaksikan kemalangan ini untuk tampil memberi maklumat.
Previous Post Next Post