Tiada sistem ranking, ke arah reformasi sekolah lebih baik - Fadhlina Sidek

Fadhlina Sidek - Menteri Pendidikan


SALAM Ramadan diucapkan kepada seluruh umat Islam. Semoga bulan mulia ini menjadi madrasah untuk kita semua memperbaiki diri, menyucikan hati serta meningkatkan amal ibadah dan takwa kepada Allah SWT.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dalam amanat disampaikan sempena pembukaan sesi persekolahan ada menyentuh mengenai fokus Kementerian Pendidikan (KPM) pada tahun ini untuk mereformasikan sekolah.

Ia adalah kesinambungan kepada agenda Reformasi Pendidikan yang dimulakan pada awal tahun lalu.

Ada yang menyokong, namun tidak kurang pula mengkritik usaha ini. Saya ambil semua sumbang saran diberi kerana sesungguhnya pendidikan negara adalah milik kita bersama.

Keprihatinan semua pihak adalah cerminan kebersamaan kita untuk melonjakkan pendidikan negara ke aras lebih baik.

Apa yang perlu difahami masyarakat ialah reformasi sekolah bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan dengan memfokuskan kecekapan pentadbir, budaya kerja guru dan kompetensi murid di sekolah.

Ia memberi tumpuan khusus bagi menangani lapan bidang keutamaan, iaitu keciciran murid, literasi dan numerasi, kepemimpinan pendidikan, profesionalisme guru, reformasi institusi, kesejahteraan, penerapan nilai MADANI dan pentaksiran antarabangsa.

Usaha mereformasikan sekolah bakal membabitkan lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah di bawah KPM. Standard Kualiti Pendidikan Malaysia akan digunakan sebagai asas untuk sekolah membuat penilaian kendiri bagi menilai situasi, kekuatan, pengurusan dan pencapaian masing-masing.

Berdasarkan penilaian kendiri berkenaan, sekolah terbabit akan dikategorikan kepada 'Sekolah Fokus', 'Sekolah Aspirasi' dan 'Sekolah Inspirasi'.

Adakah ini bermakna KPM akan mewujudkan sistem ranking antara sekolah seperti didakwa sesetengah pihak? Semestinya tidak. Pengkategorian diberi kepada sekolah adalah bersifat dalaman dan ia bukan sebagai satu bentuk penjenamaan.

Sebaliknya inisiatif ini dibuat bagi memastikan setiap sekolah mendapat bantuan berdasarkan keperluan dan secara bersasar.

Sepanjang lebih dua tahun di KPM, saya dan barisan kepemimpinan kementerian menjelajah ke seluruh pelosok negara melakukan tinjauan ke ratusan sekolah di kawasan bandar dan pedalaman.

Apa yang saya dapati adalah setiap sekolah punyai dinamika tersendiri dan perlu dilihat dalam konteks berbeza termasuk dari aspek pengurusan, pembangunan akademik dan kebitaraan, prasarana serta cabaran pendidikan yang pelbagai.

Kenal pasti situasi di setiap sekolah

Justeru, bagi menjayakan inisiatif reformasi sekolah, KPM melalui jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) perlu terlebih dahulu mengenal pasti situasi di setiap sekolah.

Pengkategorian sekolah membolehkan KPM menyalurkan bantuan secara bersasar berdasarkan keperluan sesebuah sekolah, sekali gus membolehkannya untuk membuat penambahbaikan bagi mewujudkan ekosistem sekolah yang mantap.

Sekolah Fokus merujuk kepada sekolah memerlukan tumpuan, perhatian dan sokongan khusus bagi meningkatkan prestasi. Ia memerlukan anjakan dari pelbagai aspek, termasuk transformasi kepemimpinan, bantuan sumber manusia tambahan dan peruntukan kewangan.

Sekolah Aspirasi pula mempunyai prestasi baik, namun berada dalam keadaan statik. Ia memerlukan pemantauan dan sokongan berkala bagi mencapai tahap lebih baik, termasuk menerusi pelaksanaan program latihan profesionalisme guru dan intervensi bersasar.

Bagi sekolah dalam kategori Sekolah Inspirasi yang berada pada tahap cemerlang, ia perlu dijadikan sebagai penanda aras dan contoh kepada sekolah lain. Sekolah pada kategori ini perlu diberi autonomi, pengiktirafan dan insentif untuk mengekalkan tahap kecemerlangan.

Apabila pengumuman permohonan ke sekolah khusus dikeluarkan, ada sebahagian ibu bapa yang kecewa apabila anak mereka gagal mendapat tempat di sekolah diinginkan.

Saya amat memahami kekecewaan ini kerana kita semua inginkan yang terbaik untuk pendidikan anak. Pastinya situasi ini menyerlahkan lagi kepentingan untuk melaksanakan reformasi sekolah.

Tidak kira apapun jenis sekolah, sama ada sekolah berasrama penuh (SBP) atau sekolah harian, semuanya perlu dipastikan mencapai tahap prestasi yang baik.

Adalah menjadi matlamat kementerian untuk melonjakkan prestasi setiap sekolah di negara ini bagi memastikan akses pendidikan terbaik untuk semua murid walau di mana sahaja mereka berada.

Ia tidak mudah, namun boleh dicapai menerusi sinergi yang baik di setiap peringkat serta dengan komitmen tinggi semua pemegang taruh.

Memetik penulisan makalah mantan Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom sewaktu beliau menerajui Jemaah Nazir, selain aspek kepemimpinan dan pengurusan sekolah yang menjadi elemen utama untuk melonjakkan prestasi, persekitaran, peranan guru, murid dan ibu bapa dan masyarakat adalah penting bagi mengoptimumkan potensi sekolah.

Pada kesempatan ini saya ingin menyeru semua pihak untuk memberi sokongan penuh kepada usaha reformasi sekolah yang baru bermula. Ayuh kita tingkatkan kualiti pendidikan negara yang harus dipacu menerusi kecemerlangan institusi sekolah.

Penulis adalah Menteri Pendidikan


Previous Post Next Post