Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, kes terbabit perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan keselamatan murid.
Menurutnya, selain siasatan, tindakan proaktif juga akan diambil segera bagi mengelak kejadian sama berulang.
"Mewakili kerajaan negeri, saya menzahirkan simpati atas kejadian yang berlaku.
"Buat masa ini, saya belum terima apa-apa laporan, hanya mendapat maklumat melalui video tular di TikTok.
"Apa pun saya dah minta JPN sediakan laporan lengkap kes itu. Jika perlu lakukan kerja-kerja naik taraf berkaitan keadaan tangga itu, maka kita akan lakukan segera demi keselamatan pelajar di situ," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja di Miker Signature, Medan Gopeng di sini pada Sabtu.
Khairudin berkata, dalam kawasan sekolah, keselamatan pelajar adalah keutamaan dan pihak pengurusan mesti melaporkan sekiranya berlaku sebarang kerosakan yang mengundang bahaya.
Katanya, dalam sesetengah kes, ada sekolah yang cuba menyembunyikan isu atas faktor tertentu sedangkan mereka perlu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang termaktub dalam pekeliling kementerian.
"Saya mengharapkan pihak sekolah ambil sikap tanggungjawab, kena mengambil berat tentang apa saja yang berlaku.
"Keadaan fizikal sekolah perlu diberi perhatian yang khusus kerana kalau ianya membawa kepada keselamatan murid, kita tidak akan berkompromi," katanya.
Terdahulu, dalam satu hantaran tular, seorang wanita memaklumkan anaknya mengalami kecederaan di tangan akibat tertusuk besi tangga sekolah yang berkarat dalam kejadian dipercayai berlaku Khamis lalu.
Akibat kecederaan itu, anaknya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kos hampir RM10,000 selepas gagal menerima rawatan segera di hospital kerajaan.