KPM berkata, penekanan itu disuarakan Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi kementerian itu, hari ini.
"Guru adalah agen perubahan yang mampu mengubah ekosistem pendidikan di sekolah," katanya.
Menurut kenyataan itu, antara perkara lain yang disentuh ialah inisiatif Sekolah Angkat membabitkan rakan strategik korporat, pendidikan digital dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam mesyuarat lebih sejam itu, Anwar turut diberi penerangan mengenai agenda Reformasi Pendidikan yang sedang giat berlangsung pada setiap peringkat.
Selain itu, beliau diberikan penerangan mengenai pelan pembangunan pendidikan baharu dan Kurikulum Persekolahan 2027.
"Mesyuarat berkenaan diadakan bagi memberi tumpuan kepada isu utama, perubahan dan keperluan yang perlu dilaksanakan segera dalam pendidikan.
"KPM bertanggungjawab mempersiapkan tenaga kerja terlatih dan profesional melaluipendidikan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara," katanya.
Selain itu, KPM berkata, Perdana Menteri menekankan bahawa semua murid perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan pada masa sama memperkasakan bahasa Inggeris.
"Penekanan utama diberikan kepada kompetensi guru serta pembudayaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pada setiap peringkat," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, usaha meningkatkan enrolmen dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pula perlu membabitkan semua murid di semua jenis sekolah.
"Enrolmen STEM di sekolah berasrama penuh (SBP) ketika ini adalah sekitar 98 peratus.
"Selain itu, tumpuan akan turut diberi kepada sekolah harian dan sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) untuk meningkatkan enrolmen murid STEM," katanya.