KPM sedia menilai penambahbaikan elaun pengetua, guru besar dan penolong kanan

Gambar hiasan BERNAMA




KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedia menilai keperluan sebarang penambahbaikan dari semasa ke semasa berdasarkan faktor kemampuan kewangan kerajaan, termasuk kadar elaun bagi pengetua, guru besar dan penolong kanan.

KPM menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen memaklumkan segala usaha ke arah memperkasakan profesion perguruan termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan, sentiasa diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan golongan pendidik terus terpelihara.

“Kerajaan komited untuk terus meningkatkan profesionalisme serta kesejahteraan pendidik selaras dengan peranan mereka sebagai tunjang kepada pembangunan modal insan negara,” menurut jawapan kementerian itu.

Penjelasan itu menjawab soalan Senator Azahar Hassan yang ingin tahu sama ada KPM bercadang mengkaji semula elaun kepada pengetua, guru besar dan penolong kanan setelah lama tidak dibuat memandangkan tanggungjawab mereka lebih besar dan kompleks termasuk pentadbiran, kepimpinan, kurikulum, pengurusan sumber manusia dan pelaksanaan dalam teknologi pendidikan.

Kementerian itu memaklumkan kerajaan sentiasa menghargai sumbangan dan dedikasi pemimpin institusi pendidikan khususnya pengetua, guru besar dan penolong kanan dalam mengurus serta memimpin sekolah dengan penuh tanggungjawab.

Justeru, sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan komitmen golongan pendidik, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kenaikan gaji bagi penjawat awam termasuk guru dan pentadbir sekolah.

Langkah itu dilaksanakan melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan berkuat kuasa pada 1 Dis 2024.

“Kenaikan gaji ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam memperkukuh kebajikan penjawat awam, khususnya dalam sektor pendidikan,” menurut kementerian itu.

BERNAMA


Previous Post Next Post