![]() |
Menteri Pendidikan |
KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan (KPM) menyarankan pelajar Malaysia yang menetap di Golok, Thailand agar tinggal di asrama atau menumpang di rumah saudara buat sementara waktu susulan insiden letupan bom pada Sabtu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu bertujuan mengurangkan risiko keselamatan yang dihadapi pelajar yang berulang alik ke sekolah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dekat sini.
"Buat masa ini, pelajar yang tinggal di Sungai Golok diharap tidak digalakkan untuk merentas sempadan. Biar keadaan betul-betul selamat dahulu.
"Soal keselamatan menjadi keutamaan pihak kami. KPM sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara bagi memastikan keselamatan pelajar berada di tahap terbaik," katanya pada sidang akhbar selepas Jaulah Ramadan KPM 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat di sini pada Ahad.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak berulang-alik di pintu sempadan agar berhubung dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi keselamatan di kawasan terbabit.
Menurut Fadhlina, pihaknya juga sedang mengkaji penempatan pelajar sekolah rendah di asrama sebagai langkah jangka panjang bagi menjamin keselamatan mereka.
Langkah tersebut, katanya, bukan sahaja dapat mengurangkan risiko keselamatan murid, malah memastikan kebajikan mereka terpelihara.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dua anggota sukarelawan pertahanan maut manakala lapan lagi cedera dalam insiden letupan bom di Daerah Sungai Golok, Narathiwat pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 7 malam (waktu tempatan), sekumpulan lelaki bersenjata menaiki dua kenderaan pacuan empat roda menyerang Pejabat Daerah Sungai Golok dengan melepaskan tembakan dan melontar bom tangan ke arah sukarelawan pertahanan yang sedang bertugas.
Timbalan Ketua Polis Sungai Golok, Leftenan Kolonel Pol Nitti Suksang, mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.