![]() |
Prof Madya Dr Sharifah Muzlia Syed Mustafa. - Foto NSTP/ Ihsan UiTM. |
KUALA LUMPUR: Cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membangunkan sekolah dengan konsep menegak dalam usaha mengatasi isu tanah yang terhad hanya dapat memenuhi kehendak perancangan bandar tetapi tidak sesuai untuk pembangunan kemanusiaan.
Pensyarah Kehormat Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Prof Madya Dr Sharifah Muzlia Syed Mustafa, berkata walaupun sekolah dengan konsep sedemikian sudah dilaksanakan di bandar besar dunia, namun implikasi jangka panjangnya belum dilihat.
Ini kerana katanya, tahap keselamatan adalah kebimbangan terbesar berikutan bangunan yang lebih tinggi mungkin mempunyai risiko untuk kanak-kanak seperti kemalangan atau terjatuh dari tempat tinggi.
"Kemalangan ini boleh berlaku dengan sengaja atau kerana tingkah laku yang buruk dan ia boleh berlaku walaupun di dalam bangunan yang kelihatan selamat.
"Selain itu, insiden terjatuh, tolak menolak, bunuh diri dan buli menjadi antara kemungkinan yang boleh terjadi walaupun dalam keadaan bangunan yang ditutup rapi," katanya kepada BH.
Semalam media melaporkan, DBKL bercadang membangunkan sekolah dengan konsep menegak, menempatkan bangunan dua blok dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, dillaporkan berkata syor itu bagi memenuhi keperluan tanah terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara.
Mengulas lanjut, Sharifah Muzlia berkata, pembangunan sekolah dengan konsep sedemikian juga memerlukan keadaan kemudahan awam perlu sentiasa berada pada tahap yang terbaik.
Sebagai contoh katanya, lif dan tangga kerana penggunaan lif untuk ratusan pelajar secara serentak mungkin selesa ketika lif beroperasi, namun apabila ia rosak pihak pengurusan sekolah perlu membaikinya dengan segera.
"Dalam keadaan itu adakah turun naik tangga mampu dilakukan oleh pelajar dan guru yang tidak sihat atau tidak upaya? Adakah tangga selamat dan ruang turun naik tangga sejahtera untuk murid dan guru pada setiap masa?
"Begitu juga dengan tandas. Adakah tandas disediakan di setiap tingkat? Seliaan dan penggunaan tandas bagi kapasiti yang ramai memerlukan pemantauan guru yang sudah cukup terbeban dengan tugasan pengajaran dan pentadbiran.
"Selain itu, ruang parkir untuk guru dan jalan untuk kenderaan ibu bapa dan van sekolah apabila mengambil dan menghantar murid juga perlu pemerhatian teliti supaya tidak berlaku kesesakan yang melampau," katanya.
Sharifah Muzlia berkata, bangunan yang banyak tingkat dan ruang tersorok juga akan menyukarkan guru untuk memantau aktiviti murid.
Katanya, ia sekali gus boleh membuatkan aktiviti tidak bermoral atau tingkah laku jahat lebih mudah terjadi dalam ruang tertutup sedemikian dan dibimbangi jika berlaku kejadian yang tidak diingini, guru akan dipersalahkan kerana tidak mampu memantau setiap pergerakan murid kerana nisbah guru dengan murid sangat tinggi di negara ini.
"Sekiranya Kementerian Pendidikan (KPM) ingin merealisasikan sekolah menegak, mereka perlu memikirkan dengan teliti sebarang masalah yang mungkin timbul dan cara menyelesaikannya, terutamanya bagi murid yang tinggal di bandar sibuk seperti Kuala Lumpur.
"Mungkin lebih baik untuk memberi tumpuan bagaimana menjadikan reka bentuk sekolah seperti sedia ada lebih baik untuk pelajar, dengan infrastruktur yang optimum untuk pembelajaran.
"Setiap perancangan dan pembangunan bandar jangan hanya memikirkan keuntungan tanpa mengambilkira pendidikan kemanusiaan dalam persekitaran sekolah yang mesti kondusif, logikal dan selamat," katanya.