Sekolah, kantin buka seperti biasa sepanjang Ramadan - Fadhlina

Fadhlina pada sidang media hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di SK Taman Pelangi Semenyih.


SEMENYIH: Sesi persekolahan termasuk kantin di sekolah sepanjang Ramadan akan beroperasi seperti biasa seperti tahun sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, lantas memohon semua pihak merujuk dan mematuhi garis panduan yang diterbitkan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Sekolah dan kantin sama (beroperasi seperti biasa). Ramadan tetap macam biasa, nak balik awal pun bukan boleh buka puasa awal," katanya sambil berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Jafri Abu.

Berdasarkan garis panduan KPM, sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan menamatkan sesi seawal jam 5.30 petang bagi negeri di Semenanjung, manakala bagi Sabah, Sawarak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada jam 5 petang.

Ramadan bakal disambut di negara ini selepas hampir dua minggu persekolahan sesi 2025/2026 bermula.

Dalam pada itu Fadhlina berkata, KPM mempunyai garis panduan persekolahan termasuk bagi sepanjang bulan puasa yang boleh dijadikan rujukan semua pihak.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum jika ada keperluan khas bagi isu tertentu yang perlu dilakukan.

Previous Post Next Post