![]() |
Perdana Menteri melakukan lawatan mengejut di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru sempena hari pertama persekolahan, hari ini. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri |
KUALA LUMPUR: Sempena pembukaan semula sesi persekolahan hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan Kg Baru, di sini.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri sempat mendengar keluhan daripada guru, ibu bapa serta pelajar.
"Pagi tadi saya kembali ke bilik darjah bukan sebagai guru, tetapi sebagai seorang pemimpin yang mahukan persekitaran dan keadaan sekolah yang baik dan selesa buat anak-anak bangsa selain mendengar suara serta keluhan guru, ibu bapa, termasuk pelajar.
"Di Sekolah Kebangsaan Kg Baru, saya meninjau sendiri keadaan dan suasana hari pertama persekolahan dan dedikasi serta kecekalan pendidik yang bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara.
"Dalam kunjungan mengejut dan singkat itu, saya luangkan masa mendengar kerana perihal pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan, tetapi soal membina impian, menerjah peluang dan mencorak harapan," katanya dalam hantaran di X, hari ini.
Anwar berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat, selesa dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan.
"Dan di sebalik setiap harapan, ada tanggungjawab yang kita sebagai pemimpin, guru dan pendidik serta ibu bapa mengenggam serta pikul bersama demi kejayaan anak bangsa.
"Kepada anak-anak yang memulakan hari pertama persekolahan hari ini, selamat kembali menimba ilmu," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, ketika lawatannya itu beliau juga sempat mengimbau ketika berada di hadapan mahasiswa Georgetown University, Washington DC.
"Betapa besarnya peranan seorang guru dan pendidik dalam membimbing bukan saja dengan ilmu, tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan yang terdalam, contoh teladan dan hikmah.
"Sudah tentu sekolah dan universiti adalah dua persekitaran yang berbeza, namun semangat mencurah bakti adalah sama," katanya.