Murid Tingkatan Lima meninggal dunia selepas tamatkan acara merentas desa

Murid lelaki rebah dan tidak sedarkan diri dikatakan selepas melepasi garisan penamat ketika menyertai larian merentas desa peringkat sekolah di padang sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, hari ini.


SUNGAI PETANI: Seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di daerah ini meninggal dunia selepas menyertai aktiviti merentas desa, hari ini.

Mangsa, Muhammad Haziq Uzayr Hairuddin, 16, dipercayai rebah selepas berjaya menamatkan merentas desa sejauh enam kilometer itu sebaik tiba di garisan penamat sekolah berkenaan.

Mangsa yang sebelum aktif bersuka dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri ketika kejadian menimbulkan suasana panik guru dan pelajar sekolah terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pelajar Tingkatan Lima itu dikatakan menyertai acara merentas desa peringkat sekolah bersama pelajar lain.

Beliau berkata, sebaik tiba di garisan penamat di padang sekolahnya, pelajar terbabit secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

"Ketika itu, guru bertugas bersama beberapa pelajar yang juga ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) membawa pelajar itu ke khemah berhampiran dan memberikan bantuan pertolongan cemas kepada mangsa.

"Bagaimanapun, pelajar itu tidak memberikan sebarang tindak balas ketika bantuan kecemasan dilakukan," katanya di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata, guru berkenaan terus menghubungi ambulans Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk membantu membawa mangsa ke hospital.

Beliau berkata, bagaimanapun ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan ke HSAH, pelajar itu meninggal dunia.

"Hasil temu bual pihak kita dengan bapa mangsa mendapati anak mereka itu sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit dan adalah pelajar aktif bersukan.

"Malah, semakan pihak kita juga mendapati bapa mangsa memberi kebenaran bertulis membenarkan anaknya menyertai acara sukan terbabit," katanya.

Beliau juga berkata, hasil pemeriksaan awal pihak polis terhadap mayat pelajar berkenaan tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat.

 

Previous Post Next Post