![]() |
Imej hiasan |
PETALING JAYA – Kegagalan ibu bapa dan pihak sekolah untuk bekerjasama dalam menangani masalah pendidikan dikenal pasti sebagai punca utama keciciran murid.
Menurut Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salleh Amat, masalah ini timbul apabila murid tidak hadir ke sekolah tanpa penjelasan daripada ibu bapa, menyebabkan pihak sekolah sukar menghubungi mereka.
Selain itu, kurangnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan menyebabkan mereka tidak memberi perhatian kepada prestasi akademik anak-anak. Akibatnya, murid semakin menjauh daripada sekolah, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Terdapat juga murid yang tidak berminat untuk belajar kerana menganggap suasana persekolahan kurang menarik, ditambah pula dengan guru yang gagal menarik minat mereka. Faktor pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan, apabila murid digalakkan ponteng tanpa pengetahuan ibu bapa.
Sebelum ini, kadar keciciran murid sekolah rendah dan menengah telah menunjukkan penurunan, daripada 21,748 murid pada tahun 2020 kepada 13,007 murid pada tahun lalu. Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menyatakan bahawa seramai 2,873 murid berjaya dikembalikan ke sekolah tahun lalu, termasuk 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah.
Bagi mengatasi masalah ini, Salleh menegaskan bahawa pihak sekolah perlu mempunyai maklumat lengkap mengenai murid yang tercicir. Tanpa data yang tepat, usaha untuk melaksanakan langkah intervensi akan menjadi lebih sukar.