KPM tiada kuasa usir penjaja, tapi akan pantau ketat penjualan gula-gula 'gummy' mata di luar sekolah



Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan pemantauan ketat isu penjaja dan peniaga kecil di luar premis sekolah susulan insiden seorang murid darjah empat yang maut selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata. 

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), penjaja tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti penjualan dalam radius 40 meter daripada pagar sekolah. 

"Sudah ada garis panduan yang dikeluarkan oleh kementerian berkaitan iaitu KPKT dan KKM penjaja tidak boleh berniaga dalam radius 40 meter daripada pintu pagar dan keseluruhan pagar sekolah. 

"Itu adalah undang-undang dan peraturan yang sudah ditentukan oleh KPKT dan KKM. 

"Kita di peringkat sekolah ambil maklum dan KPM sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga KKM untuk memastikan perkara berkenaan dipatuhi. 

"Ia kerana KPM tiada kuasa untuk menutup atau mengusir penjaja, itu adalah kuasa PBT dan KKM," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2025/2026, di sini, hari ini. 

Azman berkata, sebelum ini, KPM sudah mengambil langkah yang wajar terutamanya dalam mendidik dan memberi kesedaran terhadap murid dan pelajar sekolah mengenai kepentingan untuk membeli makanan yang betul di tempat yang betul. 

"Kantin di sekolah juga tidak menjual makanan ringan seperti gula-gula kenyal berkenaan. 

"Isu membabitkan kes berkaitan sebenarnya adalah bukan dalam kawalan kita kerana anak-anak berkenaan bersekolah pada sesi petang iaitu sekolah Kelas Quran dan Fardhu 'Ain (KAFA) yang berada di bawah kawalan kerajaan negeri," katanya. 

Katanya, KPM akan memastikan perkara berkenaan sebagai keutamaan supaya isu seperti itu tidak akan berulang kembali. 

"Di kantin sekolah tiada makanan yang dijual seperti 'gummy ball'. Maknanya, dasar kita jelas, ada yang boleh ada yang tidak boleh, tetapi apa yang dijual oleh peniaga di luar pintu pagar itu sebenarnya ialah makanan yang sudah digazetkan oleh KKM sebagai tidak boleh dijual," katanya. 

Terdahulu, murid Tahun 4 yang dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian pada Selasa lalu, meninggal dunia malam tadi. 

Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik HPP menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 11 malam.

 

Previous Post Next Post