KPM teliti aspek keselamatan cadangan bina sekolah 17 tingkat

Fadhlina Sidek pada sidang media selepas Majlis Peluncuran dan Karnival Generasi MADANI Kementerian Pendidikan 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini. Foto NSTP


NILAI: Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina sekolah 17 tingkat di sekitar pusat bandar raya. Namun, aspek keselamatan dan kesesuaian cadangan itu perlu diteliti dengan mendalam sebelum pelaksanaannya. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata sekolah bertingkat bukanlah perkara baharu dan telah dilaksanakan di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JWP), dengan ketinggian maksimum 10 tingkat seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sentosa, Kuala Lumpur. 

“Sekolah bertingkat memang sudah ada di Wilayah Persekutuan, jadi perkara ini bukan sesuatu yang baharu. Namun, kita perlu mengkaji secara terperinci berapa tingkat yang sesuai dan selamat untuk anak-anak kita,” kata Fadhlina dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran dan Karnival Generasi MADANI Kementerian Pendidikan 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini. 

Cadangan sekolah bertingkat ini diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, yang menyatakan ia bertujuan mengatasi isu kekurangan tanah di pusat bandar dan memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat. 

Menurut Dr Zaliha, konsep menegak seperti ini telah diterapkan di beberapa negara maju dan bakal dibincangkan secara terperinci bersama KPM untuk pelaksanaannya. 

Bangunan dua blok sekolah berkapasiti 10 hingga 17 tingkat ini dilihat sebagai langkah penyelesaian kepada cabaran ruang yang terhad di ibu negara sambil memastikan kemudahan pendidikan terus berkembang selari dengan peningkatan populasi. 

Sebarang keputusan mengenai pembinaan sekolah 17 tingkat ini akan dibuat berdasarkan hasil perbincangan lanjut antara KPM dan DBKL, dengan tumpuan diberikan kepada aspek keselamatan, kesesuaian reka bentuk, dan kesejahteraan pelajar.

 

Previous Post Next Post