KPM tambah baik inisiatif penguasaan bahasa Inggeris murid



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbang beberapa penambahbaikan segera bagi memastikan keberkesanan dan impak inisiatif penguasaan bahasa Inggeris sedang dilaksanakan dalam kalangan pelajar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata antaranya membuat penstrukturan semula pusat tanggungjawab berkaitan supaya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan murid dapat dipertingkat.

"KPM juga akan memperluas peranan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) bagi memacu pengukuhan bahasa Inggeris.

"Begitu juga penumpuan terhadap Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), iaitu memberi penekanan khusus kepada keperluan menguasai bahasa Inggeris dengan baik sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antarabangsa.

"Penstrukturan semula ELTC secara radikal dijangka memberi impak kepada peningkatan dan penguasaan guru-guru khususnya dari aspek latihan dan pengajaran dalam kelas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM akan turut memfokuskan usaha memperkasa bahasa Inggeris yang tertumpu kepada empat inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Katanya, ia merangkumi aspek Highly Immersive Programme (HIP), Dual Language Programme (DLP), Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di Sekolah Dalam Talian dan Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT).

"Selain itu, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang optimum dalam pelantar 'Digital Educational Learning Initiative Malaysia' (DELIMa) kini menjadi peneraju utama peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid," katanya.

Fadhlina berkata, dengan reformasi pendidikan itu, KPM mengambil perhatian saranan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu kementeriannya menyegerakan inisiatif pengukuhan bahasa Inggeris dalam kalangan murid di sekolah.

"Ia selaras agenda Reformasi Pendidikan KPM yang turut memberi tumpuan kepada aspek memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris sebagai antara hala tuju utama pendidikan negara.

"KPM menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap isu-isu berkaitan pendidikan dan akan terus berusaha keras mereformasikan pendidikan negara demi meningkatkan kualiti pendidikan negara," katanya.

Previous Post Next Post