Usaha itu pertama kali dilaksanakan sebagai sebahagian inisiatif KPM untuk meringankan beban tugas guru dan dan memastikan warga pendidik itu kekal fokus ketika proses pembelajaran dan pengajaran (PnP) dalam bilik darjah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata melalui inisiatif itu, seramai 562 pembantu guru akan ditempatkan di semua sekolah yang menepati syarat ditetapkan.
"Jadi, ahli Yang Berhormat sekalian boleh sampaikan fakta ini kepada sekolah di kawasan masing-masing iaitu sebanyak 274 sekolah menengah yang ada enrolmen 1,500 murid ke atas dan tujuh buah sekolah menegah pendidikan khas, dikenal pasti untuk pelaksanaan inisiatif ini.
"Setiap sekolah akan terima dua orang pembantu guru MySTEP di sekolah yang terbabit," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja bagi KPM, di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Fadhlina memaklumkan, bagi 2025, KPM menyediakan 18 jenis bantuan iaitu lima daripadanya dalam bentuk bantuan umum, manakala 13 lagi adalah bantuan khusus.
Jelas Fadhlina, bantuan umum disalurkan kepada sekolah bagi menampung keperluan PdP, pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum serta pentadbiran sekolah atau asrama yang mana ia diagih berdasarkan enrolmen murid bagi memastikan setiap sekolah mendapat peruntukan yang mencukupi.
Sementara bantuan khusus diberikan dalam penyaluran kewangan dan barangan kepada murid berdasarkan merit dan kelayakan yang ditetapkan oleh KPM.
"KPM komited menjaga kebajikan murid bagi memastikan pendidikan dapat dicapai oleh semua lapisan masyarakat dengan ia diagihkan kepada sekolah kerajaan (SK) dan sekolah bantuan kerajaan (SBK).
"Bagi 2025, KPM menyediakan peruntukan RM1.209 bilion untuk bantuan umum yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan sukan, bantuan makanan prasekolah, bantuan geran per kapita prasekolah dan bantuan tambahan persekolahan.
"Sementara bantuan khusus pula sebanyak RM4.305 bilion diperuntukkan kepada murid SK dan SBK yang layak, terutama dalam kalangan miskin tegar dan mematuhi syarat kelayakan ditetapkan," katanya.
Menjawab cadangan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) supaya isi kandungan buku teks Sejarah di peringkat sekolah rendah diteliti semula mengikut sejarah semua kaum di negara ini, Fadhlina berkata, silibus subjek Sejarah ditentukan jawatankuasa khas yang menghimpunkan sejarawan dan guru sejarah sebagai pakar rujuk.
"Mereka ini dihimpunkan bagi menetapkan tahap dan peristiwa penting (untuk dimuatkan dalam buku teks Sejarah).
"Apa saja makluman atau cadangan akan dibangkitkan (untuk dikemukakan kepada jawatankuasa khas ini) dan mereka yang akan memutuskannya," katanya.