Konsep sekolah tinggi tak sesuai khususnya untuk sekolah rendah - Pensyarah


SHAH ALAM - Cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membangunkan sekolah membabitkan pembinaan bangunan setinggi antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur dilihat tidak sesuai untuk sekolah rendah kerana boleh membahayakan keselamatan murid.

Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, aspek keselamatan murid bukan sahaja berkait ketinggian bangunan malah dari segi akses anak-anak ke sekolah apabila ia terletak di pusat bandar sesak.

“Bagi sekolah rendah saya lihat cadangan ini tidak berapa sesuai atas faktor keselamatan murid yang masih kecil iaitu berusia dari tujuh hingga 12 tahun.

“Untuk bangunan tinggi, perlu guna lif, jadi perlu ada pemantauan guru-guru terhadap murid ketika menggunakan kemudahan ini. Itu antara kekangannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muhammad Azwan berpandangan, akses anak-anak ke sekolah juga perlu diambil kira seandainya bangunan tinggi berkenaan menempatkan ribuan murid kerana mempunyai banyak bilik darjah.

“Jika sebuah bangunan itu boleh muat 3,000 murid, bayangkan macam mana kenderaan ibu bapa nak hantar anak-anak, pastinya trafik di kawasan tersebut sesak. Jadi kesan domino yang berlaku dengan pembinaan sekolah tinggi ini kepada persekitaran juga mesti diambil kira.

“Selain itu, perlu diteliti suasana pembelajaran di bangunan tinggi ini kondusif atau tidak. Kalau kelas tepi bangunan tinggi adakah ia mengganggu pandangan murid? Ini melibatkan kualiti pembelajaran,” ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, konsep tersebut mungkin lebih sesuai kepada sekolah menengah kerana pelajar sudah boleh berdikari dengan menaiki kemudahan pengangkutan awam ke sekolah seperti transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT).

“Jika sekolah rendah buat dekat dengan stesen MRT atau LRT sekalipun, murid tidak boleh pergi sendiri, tak boleh gunakan pengangkutan awam sendirian. Kalau sekolah menengah, pelajar mungkin boleh memanfaatkan kemudahan pengangkutan ini,” jelasnya.

Muhammad Azwan menambah, kos pembinaan sekolah berkonsep tinggi juga memakan belanja lebih besar daripada sekolah biasa selain kos penggunaan tenaga elektrik dan penyelenggaraan.

“Dari segi bil elektrik, bangunan sekolah setinggi antara 10 hingga 17 tingkat akan menggunakan tenaga elektrik yang lebih besar kerana penggunaan lif dan kawasan koridor sekolah yang perlu dipasang lampu 24 jam,” katanya.

Menurutnya, pembinaan sekolah di dalam pusat bandar Kuala Lumpur dilihat sudah tidak lagi sesuai.

“Ia perlu dipindahkan ke pinggir bandar yang menjadi tempat tinggal warga kota kerana kalau kita tengok dari sudut ekonomi juga, sekolah dalam pusat bandar bukan dalam kegunaan terbaik.

“Di pusat bandar yang turut menjadi kawasan pusat perniagaan, biasanya orang tidak duduk di situ dan hanya datang untuk bekerja sahaja,” katanya.

Previous Post Next Post