![]() |
KEDIAMAN ibu bapa cikgu Hamdan yang kerap dikunjungi kini sepi selepas kehilangannya. FOTO Alias Abd Rani |
Segamat: Kehilangan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jementah, Hamdan Hamzah, 46, sejak Isnin lalu terus diselubungi misteri.
Polis dan penduduk kampung tidak menemui sebarang petunjuk meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan guru terbabit dilakukan sejak laporan kehilangannya dibuat Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata usaha mencari guru terbabit juga dilakukan melalui kenalannya namun sehingga kini belum ada perkembangan diperolehi.
"Sehingga ini, polis belum menerima sebarang perkembangan dan kita cuba mengesan cikgu Hamdan daripada rakan yang mungkin tahu keberadaannya.
"Polis sedang mengumpul maklumat dan akan menyiasat sekiranya kehilangannya ada kaitan dengan masalah peribadi dihadapinya," katanya ketika ditemui.
Sementara itu, jirannya, Junaidah Samsudin, 60, berkata dia dan penduduk di Felda Kemelah hanya mengetahui kehilangan cikgu Hamdan selepas tular di media sosial.
Menurutnya, sehari sebelum hilang, ada kenduri doa selamat di rumah cikgu Hamdan.
"Hari itu saya nampak motosikal dia di rumah. Tiba-tiba kami dapat tahu dia hilang sampai hari ini.
"Dia pernah beritahu malas hendak mengajar tapi dia pergi juga. Ada guru besar dan guru lain pun tanya kenapa dia tak sampai lagi (ke sekolah)," katanya.
Sementara itu, Junaidah berkata, sejak kehilangannya penduduk Felda Kemelah turut membantu mencarinya termasuk menyusuri jalan yang kebiasaan dilalui untuk ke sekolah.
Selain itu, katanya, kariah masjid juga mengadakan solat hajat agar dipermudahkan segala urusan pencariannya.
"Ada penduduk beritahu, ahli keluarganya berusaha mencarinya hingga ke Melaka. Saya harap dia ditemukan segera dalam keadaan selamat," katanya.
Hamdan dilaporkan hilang selepas keluar rumah dengan menunggang motosikal untuk ke tempat kerja di SK Jementah Isnin lalu.
Sebelum kehilangannya, dia dilaporkan keluar rumah pada jam 5.15 pagi untuk ke sekolahnya namun dia tidak pulang sehingga kini.
Kehilangannya itu disedari ahli keluarga sebelum mereka membuat laporan polis di Balai Polis Tenang, Rabu lalu.