KUALA LUMPUR – Hampir 9,000 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan sistem satu sesi dalam usaha mengurangkan beban guru, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau memaklumkan bahawa sehingga Disember lalu, sebanyak 8,997 sekolah atau 87.9 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di Malaysia telah beralih kepada sistem ini. Namun, sebanyak 1,238 sekolah atau 12.1 peratus masih mengekalkan dua sesi bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta menjamin akses dan kualiti pendidikan yang lebih baik.
"Dalam mengurangkan beban tugas guru, kementerian telah mengambil langkah proaktif dengan memastikan pengurusan perjawatan yang lebih sistematik," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau turut menyatakan bahawa bagi sekolah yang masih beroperasi dalam dua sesi, guru-guru ditempatkan dalam kumpulan berasingan untuk sesi pagi dan petang. Selain itu, jawatan seperti Guru Penolong Kanan Petang diwujudkan bagi menyelaraskan pengoperasian sekolah sesi petang. Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran pentadbiran serta PdP, sekali gus mengawal dan mengurus beban tugas guru secara lebih efektif.
Menjawab pertanyaan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai tahap kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan sistem satu sesi dan kesannya terhadap beban tugas guru, Fadhlina mengakui terdapat cabaran, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, berikutan kekurangan infrastruktur dan tenaga pengajar.
Bagaimanapun, kementerian mengambil pendekatan bersesuaian dengan keperluan setiap lokaliti, tanpa menggunakan penyelesaian yang seragam untuk semua sekolah. Sebagai langkah jangka panjang, penyediaan infrastruktur sedang giat dirancang bagi membolehkan lebih banyak sekolah beralih kepada sistem satu sesi.
"Bagi tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 261 sekolah sedang dalam proses pembinaan bangunan tambahan, manakala 103 sekolah baharu sedang dibangunkan bagi menampung peningkatan jumlah murid," katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem pendidikan negara berkembang secara mampan dan inklusif. Setakat 25 Januari lalu, seramai 416,194 guru berkhidmat di seluruh negara, bersamaan dengan kadar pengisian jawatan sebanyak 96.16 peratus.