72,385 murid tahun satu berjaya kuasai asas 3M



Kuala Lumpur: Seramai 72,385 murid tahun satu yang dikenal pasti melalui saringan Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi bagi tahun lalu berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M).

Ia selepas mereka mengikuti program intervensi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh yang memberitahu kejayaan program Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi direkodkan setakat 31 Januari lalu.

"Secara keseluruhan, 59.30 peratus atau 72,385 murid tahun satu yang dikenal pasti dalam Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi berjaya menguasai kemahiran asas 3M sepanjang tahun 2024.

"Bagi murid yang masih belum menguasai kemahiran ini, mereka akan mengikuti Program Pemulihan Khas di tahun dua," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai perkembangan dan cabaran utama dalam program intervensi pemulihan khas penguasaan asas 3M memandangkan tahap literasi pelajar yang masih rendah dalam kalangan murid tahun satu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan dapatan awal, sebanyak 27.42 peratus atau 122,062 orang murid dikenal pasti memerlukan intervensi 3M.

Katanya, KPM melaksanakan Program Intervensi Fasa Satu bermula Julai hingga September 2024 dengan hasilnya, 39.58 peratus atau 48,308 murid berjaya menguasai kemahiran asas 3M, manakala baki 60.42 peratus atau 73,754 murid meneruskan intervensi dalam fasa dua.

Bagi intervensi dalam fasa dua yang dilaksanakan dari Oktober hingga Disember 2024, data sehingga 31 Januari lalu menunjukkan bahawa 32.65 peratus atau 24,077 murid daripada baki terbabit berjaya menguasai asas 3M.

Tambahnya, KPM turut cakna bahawa penguasaan 3M dalam kalangan murid tahun satu bukan hanya terhad kepada aspek pedagogi semata-mata, tetapi turut dipengaruhi pelbagai faktor lain misalnya sosioekonomi, tahap kesediaan murid, serta persekitaran pembelajaran di rumah.

"Oleh itu, pendekatan bersepadu membabitkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, komuniti, serta sektor swasta amat diperlukan bagi memastikan setiap murid mendapat sokongan yang mencukupi untuk menguasai kemahiran asas ini.

"Pada masa sama, KPM turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program Anak Kita (3M) yang diterajui oleh Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah. Program ini melibatkan 1,288 sekolah dengan penyertaan 53,252 murid," katanya.
Previous Post Next Post