TULAR baru-baru ini rakaman video sekumpulan pelajar yang baharu tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunggang motosikal dengan melulu. Mereka membuat bising di lampu isyarat dengan deruan ekzos motosikal yang diubah suai. Alasannya, sekadar berseronok dan ingin menggambarkan mereka sudah 'merdeka' dari sekolah. Kejadian seumpama ini bukanlah kali pertama terjadi kerana ia seakan telah menjadi satu budaya yang kian membarah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Hakikat membuktikan bahawa anak-anak ini lebih bertuah berbanding mereka yang bergelar 'generasi yang hilang' iaitu mereka yang tersisih dan tercicir dari segi pendidikan akibat wabak COVID-19 yang melanda negara tidak lama dahulu.
Namun perlu diingat bahawa walaupun Gen Z dilihat memiliki personaliti seperti bercita-cita tinggi dan sangat berkeyakinan namun mereka sebenarnya berhadapan dengan cabaran yang memerlukan daya tahan emosi yang lebih kukuh. Ketabahan emosi diperlukan bagi mencegah isu sosial yang lebih serius seperti buli, kemurungan dan krisis identiti.
Dilihat dari sudut yang lain, Gen Z sebenarnya boleh disifatkan sebagai generasi yang cukup rapuh, mudah kemurungan sehinggakan ada yang menghadapi anxiety atau keresahan melampau. Justeru, mereka memerlukan bimbingan supaya dapat menggunakan mental secara positif dan membina daya fikir yang lebih matang.
Namun begitu, ia tidak bermakna bahawa mereka perlu bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa dalam apa jua urusan atau lebih tepat lagi dimanjakan secara melulu. Keadaan tersebut bukan sahaja mengakibatkan mereka kehilangan jati diri bahkan akan menyebabkan mereka tidak mampu untuk berdikari, malas dan tidak berupaya menyerap tekanan.
Bagi menangani isu ini, Gen Z perlu dipupuk kesedaran dalam menilai sumber dan membezakan antara pendapat mahupun fakta. Kempen kesedaran mengenai perkara ini misalnya boleh dijalankan oleh institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau universiti dan juga oleh platform media sosial itu sendiri. Secara tidak langsung, ia boleh membantu dalam membentuk tabiat yang lebih sihat dalam kalangan Gen Z.
Persekitaran kehidupan yang sememangnya mempengaruhi cara berfikir dan gaya bertindak Gen Z sewajarnya diraikan dengan bimbingan dan bukan kecaman kerana mereka adalah pewaris kepimpinan tanah air.
Oleh itu, tindakan polis yang sekadar memberi nasihat dan mengarahkan kumpulan pelajar yang mempamerkan aksi rempit supaya beratur dan menunaikan solat Asar secara berjemaah di surau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang pada 16 Januari lalu seperti yang tular di media sosial seharusnya dipuji. Hukuman 'ringan' tersebut berbanding ditahan di lokap adalah amat wajar demi memberi kesedaran dan pengajaran berguna kepada anak-anak muda yang masih mentah ini.
Anak-anak muda khususnya Gen Z perlu diingatkan bahawa pasaran kerja pada masa sekarang cukup kompetitif dan lebih memihak kepada individu yang memiliki tahap kecemerlangan tinggi dalam segenap aspek. Justeru jangan mudah alpa dan lalai dengan budaya hedonisme.
Gen Z perlu memiliki jiwa dan mental yang kental. Tahu hala tuju serta mempunyai cita-cita dan perancangan masa depan yang teratur dan positif. Pemikiran sempit perlu dibuang jauh-jauh jika mahu berjaya dan bergerak pantas seiring perubahan teknologi masa kini.
Selain itu, Generasi Z harus didedahkan kepada program pembentukan nilai seperti kempen kesukarelawanan atau aktiviti kemasyarakatan. Dengan ini, mereka bukan sahaja dapat belajar erti tanggungjawab tetapi juga memahami kepentingan memberi sumbangan kepada komuniti. Aktiviti seperti ini mampu membina rasa empati dan kemahiran sosial yang lebih baik dalam kalangan mereka.
Institusi pendidikan pula boleh mengambil langkah proaktif dengan menyediakan modul pembangunan diri yang merangkumi latihan pengurusan emosi, pembinaan jati diri, dan kemahiran komunikasi. Dengan bimbingan sedemikian, mereka akan lebih bersedia menghadapi cabaran sosial serta profesional yang semakin mencabar.
Tambahan pula, sokongan daripada sektor korporat dalam bentuk bimbingan kerjaya seperti program mentor-mentee dapat membantu mereka lebih memahami dunia pekerjaan sebenar. Ini akan memberikan pendedahan awal yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan kehendak ekonomi semasa.