NUTP mohon KPM longgarkan syarat pertukaran guru

Kisah Cikgu Din atau nama sebenar Mohamad Izzudin Izhar berharap dapat bertukar dari Sarawak ke Semenanjung untuk menemani isteri Nur Atiqah My Yusoff yang menghidap kanser tular di media sosial Oktober lalu. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mempertimbangkan pengurangan tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan sebagai syarat memohon pertukaran guru seperti ditetapkan sebelum ini bagi mengelak kisah Cikgu Din berulang.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu kepada KPM bulan lalu.

“Kita dah mohon, bulan lepas hantar surat dan akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa dan harap dapat pertimbangan daripada KPM,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas sama ada kerajaan perlu pertimbang melonggarkan syarat pertukaran guru susulan kematian isteri Cikgu Din atau nama sebenar Mohamad Izzudin Izhar, 34, semalam.

Kisah Cikgu Din berharap dapat bertukar dari Sarawak ke Semenanjung untuk menemani isteri Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menghidap kanser tular di media sosial Oktober lalu dan mendapat perhatian warganet.

Guru bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ming Wok, Kanowit, dilaporkan sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan, setiap dua minggu untuk menemani isteri, dan membuat permohonan pertukaran apabila keadaan wanita itu semakin tenat.

Fouzi berkata, dalam kes Cikgu Din KPM sudah mengambil tindakan ihsan dengan meluluskan penempatan sementara berdekatan isterinya.

“Namun, ia hanya penempatan sementara, bukan kekal. Maknanya selepas ini ikut peraturannya dia akan balik ke sekolah asal,” katanya.

Sementara itu, Fouzi berkata bakal guru yang akan memulakan perkhidmatan sudah dimaklumkan mengenai syarat ditetapkan KPM iaitu tidak dibenarkan memohon pertukaran dalam tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan.

Katanya, beberapa perkara utama perlu diambil kira dalam mempertimbangkan permohonan pertukaran itu termasuk jika terdapat kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dipohon.

Sebanyak 45,336 atau 35% permohonan pertukaran guru diluluskan bagi tempoh lapan tahun iaitu antara 2017 hingga Jun lalu, dengan keutamaan diberikan kepada kategori pasangan guru jarak jauh.

Menerusi jawapan di Dewan Rakyat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata bagi setiap sesi pertukaran, kategori itu diberikan peratus kelulusan tertinggi berbanding faktor lain termasuk kesihatan dan keselamatan.

 

Previous Post Next Post