Ketika ini KPM menetapkan guru tidak dibenarkan memohon pertukaran dalam tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan.
Menteri Fadhlina Sidek berkata, isu kebajikan guru sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.
“Pertimbangan itu sentiasa ada, sebab itu dalam jawapan kita di Parlimen…penegasan-penegasan kita, isu kebajikan guru itu menjadi keutamaan.
“Jadi yang disebut oleh NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia) itu (longgar syarat pertukaran guru) adalah selari dengan apa sedang kita laksanakan sekarang dalam polisi dan dasar kita khusus berkaitan isu tersebut,” katanya selepas majlis pecah tanah untuk membina dua sekolah rendah awam di Bandar Gamuda Cove.
Terdahulu, FMT melaporkan NUTP menggesa KPM mempertimbangkan pengurangan tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan sebagai syarat memohon pertukaran guru bagi mengelak kisah Cikgu Din berulang.
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan itu kepada KPM bulan lalu, mengulas sama ada kerajaan perlu pertimbang melonggarkan syarat pertukaran guru susulan kematian isteri Cikgu Din atau nama sebenar Mohamad Izzudin Izhar, 34, kelmarin.
Kisah Cikgu Din berharap dapat bertukar dari Sarawak ke Semenanjung untuk menemani isteri Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menghidap kanser tular di media sosial Oktober lalu dan mendapat perhatian warganet.
Guru bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ming Wok, Kanowit, dilaporkan sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan, setiap dua minggu untuk menemani isteri, dan membuat permohonan pertukaran apabila keadaan wanita itu semakin tenat.
Sementara itu, Fadhlina berkata tiada keperluan untuk melaksanakan sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelajar terjejas banjir kerana ia berjalan lancar ketika ini.
Katanya, setakat semalam keseluruhan kehadiran adalah 99% untuk ujian bertutur bahasa Melayu dan pihaknya sedang mengenal pasti pelajar tidak hadir.
“Kenapa kena ada sesi kedua kalau kita boleh buat satu sesi sahaja? Semalam saya sudah tegaskan dalam Dewan bahawa persiapan kita menghadapi banjir ini adalah di bawah Op Payung.
“Op Payung ini kita aktifkan setiap tahun bila berdepan isu banjir dan ia adalah kekuatan jentera agensi kerajaan sepenuhnya untuk melaksanakan semua garis panduan SOP banjir,” katanya mengulas gesaan pembangkang supaya berbuat demikian.