CEDERA: Murid perempuan yang tersekat di rangka besi kerusi berjaya diselamatkan. |
TAWAU: Seorang murid perempuan terpaksa menanggung kesakitan hampir sejam selepas tersepit di rangka besi kerusi yang rosak tempat duduknya, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau II itu, mangsa berusia 14 tahun mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.08 pagi.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian anggota bomba mendapati bahagian punggung mangsa telah tersepit pada kerusi besi yang rosak.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas (hydraulic cutter) bagi memotong kerusi besi berkenaan sebelum mengeluarkan mangsa perlahan-lahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut
“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 9.45 pagi,” katanya.