KPM takkan patah balik, UPSR dan PT3 tidak lagi relevan - Fadhlina

Imej hiasan


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan berpatah balik dalam keputusan berkaitan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dibuat masing-masing pada 2021 serta 2022. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ini kerana peperiksaan itu disifatkan tidak lagi relevan khususnya dalam menerajui Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

"Saya ambil peluang ini untuk menegaskan bahawa ketika ini kita tidak akan berpatah balik, dengan mengekalkan (keputusan untuk) menghapuskan UPSR dan PT3 kerana ia tidak lagi relevan. 

"Sebaliknya kita memberikan ruang kepada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ini berlangsung dengan baik... apa pun yang berlaku dalam pendidikan harus dikembalikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat, hari ini. 

Terdahulu, beberapa ahli Parlimen membabitkan Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy (WARISAN-Kota Belud) dan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mencelah dalam sesi berkenaan meminta pihak kementerian supaya mengembalikan dua peperiksaan terbabit.

 

Previous Post Next Post