KPM perlu jelaskan matlamat peperiksaan tunggal masuk universiti - NUTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menjelaskan matlamat dan alasan terhadap cadangan peperiksaan tunggal kepada lepasan matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke universiti awam.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Saigon, berkata ketika ini masih tidak jelas sama ada peperiksaan berkenaan sama ada untuk penentuan aliran kemanusiaan atau sains di peringkat matrikulasi dan STPM atau kemasukan ke universiti awam.

Sehubungan itu beliau menyarankan cadangan itu dikaji dan diperhalusi dengan teliti supaya ia tidak akan memberi kesan kepada pendidikan pada masa depan.

"Ahli-ahli akademik juga perlu meneliti hasrat utama mengenai cadangan berkenaan sama ada mahu setarakan program matrikulasi atau STPM berkenaan.

"KPM juga perlu menjelaskan matlamat dan sebab peperiksaan tunggal berkenaan perlu dilaksanakan. Ketika ini masih tidak jelas sama ada peperiksaan berkenaan sama ada untuk aliran atau kemasukan ke universiti awam," katanya kepada BH, hari ini.

Fouzi berkata, cadangan berkenaan juga tidak dapat dipastikan sama ada lepasan matrikulasi dan STPM berkenaan tidak cukup layak untuk masuk ke universiti awam.

"Ia perlu dijelaskan segera supaya tidak menjadi polemik kepada pelajar lepasan SPM berkenaan. Ketika ini kita tidak tahu sama ada mereka (KPM) mahu setarakan matrikulasi atau STPM.

"KPM juga wajar untuk mewujudkan Jabatan Pra Universiti dan Tingkatan Enam dijenamakan semula supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran di fasiliti matrikulasi yang sedia ada kerana ketika ini mereka terpaksa pergi ke sekolah," katanya.

Katanya, Tingkatan Enam perlu dijenamakan semula supaya semua pelajar-pelajar Tingkatan Enam itu dapat masuk ke Kolej Matrikulasi yang sama cuma berbeza aliran membabitkan aliran kemanusiaan dan sains.

"Langkah itu akan menarik lebih ramai lagi lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran ke aliran kemanusiaan (STPM) di pusat pengajian baharu atau lanjutan selepas tamat SPM.

"Perkara berkenaan tidak perlu tergesa-gesa dilaksanakan dan perlu melakukan kajian lebih mendalam terlebih dahulu supaya matlamat dan hasrat murni kerajaan dapat benar-benar sampai ke golongan sasaran," katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata cadangan berkenaan adalah komitmen KPM bagi memastikan pelajar mempunyai landasan cerah bagi melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Bagaimanapun beliau berkata sehingga kini belum ada kata putus dimuktamadkan mengenai perkara itu.

"Mengenai cadangan (Ahli Parlimen) Petaling Jaya (Lee Chean Chung) sama ada KPM ada meneliti untuk menyatukan kedua-dua matrikulasi dan STPM, KPM mengambil ini dengan pandangan dan sikap sangat serius," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.


Previous Post Next Post