Keciciran murid sekolah menengah turun konsisten, enrolmen TVET meningkat antara kejayaan PPPM 2013-2025

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan menunjukkan buku Laporan Tahunan 2023 Kementerian Pendidikan yang turut menyentuh signifikan dan kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 (PPPM). - BERNAMA


PUTRAJAYA: Kadar keciciran murid sekolah menengah yang turun secara konsisten dan peningkatan enrolmen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak 2019, antara hasil kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ia antara kejayaan yang direkodkan setakat ini menerusi PPPM 2013-2025 yang bertujuan meningkatkan akses, kualiti dan kecekapan pendidikan di Malaysia.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata pada 2019, data keciciran murid sekolah menengah mencatatkan 1.14 peratus, turun kepada 1.13 peratus (2020), 1.11 peratus (2021, 0.99 peratus (2022) dan 0.83 peratus pada tahun lalu.

"Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam menangani isu keciciran pelajar dengan melaksanakan pelbagai intervensi bagi memastikan mereka kembali ke sekolah.

"Tahun lalu, Program Outreach Murid Cicir berjaya mengembalikan seramai 1,269 murid sekolah rendah dan 2,006 pelajar sekolah menengah ke sekolah," katanya wawancara khas baru-baru ini.

Beliau turut menyentuh mengenai signifikan dan kejayaan PPPM serta reformasi pendidikan yang dilaksanakan ketika ini.

Berdasarkan statistik KPM, katanya, kadar penyertaan murid sekolah rendah pada tahun lalu adalah 99.11 peratus dan ia menunjukkan ada 0.89 peratus kanak-kanak belum mendapatkan akses pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Menurut Azman, KPM juga sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menarik minat murid menceburi program kemahiran yang ditawarkan di Kolej Vokasional (KV), Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan aliran kemahiran di sekolah menengah harian.

Hasilnya, kadar kebolehpasaran pelajar program TVET di KV mencapai 99.38 peratus pada 2022.

Inisiatif terbabit termasuk jerayawara KV dan SMT sepanjang Karnival MADANI berlangsung, program peluasan Sistem Latihan Dual Nasional serta kerjasama dengan pemain industri.

Penggiat industri terbabit seperti Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (Moda).

"Saya sudah mempengerusikan mesyuarat dengan 10 persatuan industri dan mereka komited untuk bekerjasama dengan KPM, khususnya dalam bidang TVET dan pasca latihan TVET.

"Dengan gabungan persatuan ini, diharapkan kualiti latihan dapat ditingkatkan, sekali gus membuka peluang kepada anak-anak kita untuk memasuki industri (alam pekerjaan) selepas tamat latihan di KV," katanya.

Katanya, struktur Kurikulum Standard Kolej Vokasional terbahagi kepada 70 peratus amali dan 30 peratus teori, yang menunjukkan keutamaan diberikan kepada aspek kemahiran praktikal atau hands-on.

Menurut Laporan Tahunan PPPM 2023, enrolmen aliran TVET meningkat daripada 4.60 peratus pada 2019 kepada 6.11 peratus pada 2020, diikuti 6.30 peratus (2021), 6.66 peratus (2022) dan 10.51 peratus (2023).

Untuk kekal terkini dengan trend industri, KPM turut merancang menawarkan program baharu dan berimpak tinggi dalam bidang seperti kecerdasan buatan, teknologi automotif kenderaan elektrik dan teknologi hidrogen.

Mengenai akses kepada pendidikan peringkat prasekolah, Azman berkata, antara usaha awal dilaksanakan adalah melalui peluasan kelas prasekolah dan sehingga Ogos 2024, terdapat 134 kelas prasekolah di seluruh negara.

Katanya, usaha peluasan pendidikan prasekolah di institusi selain sekolah rendah melibatkan lima kelas di sekolah menengah, enam di Kolej Vokasional (KV) dan 25 kelas prasekolah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

"Ini terutama untuk membantu membimbing anak-anak kecil daripada golongan B40 agar mereka dapat mengikuti pendidikan asas sebelum memasuki peringkat rendah dan seterusnya," katanya.

Mengenai perkembangan pelan pemulihan untuk membimbing murid tercicir dalam sistem pendidikan nasional yang dirangka KPM sebelum ini, beliau berkata, KPM akan terus meneliti peluang untuk meluaskan pembangunan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9).

K9 sekolah yang menawarkan pendidikan dari Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga. Matlamatnya untuk menangani isu keciciran di kawasan pedalaman.

Ia terutama bagi murid yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah atas faktor lokasi sekolah jauh, bentuk muka bumi yang mencabar dan keadaan sosioekonomi keluarga.

"KPM sedang memperluaskan konsep K9 kepada Sekolah Model Khas K11 yang lebih menyeluruh dari peringkat rendah hingga menengah selama 11 tahun, iaitu dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.

"Selain itu, konsep Sekolah Model Khas K11 juga dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan Tiga ke Tingkatan Empat atau transisi peringkat pengajian menengah rendah ke menengah atas," katanya.

Azman berkata, buat masa ini, terdapat 28 sekolah K9 dan dua sekolah K11 dan sebagai permulaan, KPM telah memulakan program rintis K11 di Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang.

Katanya, ia kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan RPS Betau, khas untuk murid Orang Asli di kawasan berkenaan serta di SK Long Bedian, Baram, Sarawak.

Previous Post Next Post