“Jangan pisahkan guru, suami isteri”

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di pejabatnya di bangunan Parlimen Kuala Lumpur.


LAWAS: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa supaya mengambil pendekatan kemanusiaan dengan tidak memisahkan pasangan suami isteri dalam kalangan guru.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata sebagai contoh ialah suami mengajar di Lawas tetapi isteri mengajar di Semenanjung.

“Begitu juga yang sebaliknya kerana ini akan menjejaskan prestasi guru tersebut.

“Guru yang sudah berkahwin seharusnya tidak dipisahkan antara satu sama yang lain,” katanya ketika membahas Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam.

Isu sama turut dibangkitkan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi di Dewan Rakyat baru-baru ini berkaitan ‘guru duka lara’ iaitu masalah pasangan guru jarak jauh atau pasangan suami isteri yang berjauhan di antara satu sama lain.

Isu guru yang berjauhan berpisah dengan pasangan adalah isu yang telah lama berlarutan dan menjadi cabaran besar bagi warga pendidik dan KPM. Isu ini kebanyakannya membabitkan pasangan berasal dari Semenanjung tetapi suami atau isteri bertugas di Sarawak dan Sabah.

Menurut Ahmad Johnie salah satu kaedah terbaik menangani atau mengurangkan isu ini ialah menempatkan guru-guru yang berasal dari daerah masing-masing mengajar di sekolah berdekatan untuk mengelak masalah kekurangan guru berlaku yang semakin kritikal.

Henry Sum turut membangkitkan isu pendidikan di Lawas yang mempunyai 35 sekolah sekolah rendah kebangsaan dan empat sekolah menengah.

Namun katanya, kebanyakan bangunan sekolah berada dalam keadaan daif khususnya yang dibina sekitar 30 hingga 40 tahun lalu dengan bahan binaan sebahagiannya kayu dan tidak tahan lama berbanding dengan bangunan konkrit.

Selain masalah sekolah uzur, Henry Sum juga mencadangkan agar SRK Siang-Siang yang sering dilanda banjir dipindahkan ke suatu kawasan yang lebih tinggi.

“Dari segi tenaga pengajar saya difahamkan terdapat 74 kekosongan jawatan guru di Lawas dan kebelakangan ini wujud dua kekosongan Pengetua iaitu di SMK Trusan dan SMK Sundar dalam tempoh yang agak lama.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar peranan Jabatan Pendidikan Peringkat Negeri Sarawak diperluaskan lagi untuk tujuan mempercepatkan proses pengambilan guru baru dan pengisian jawatan kosong,” katanya.

Oleh ADENG EDRUS

 

Previous Post Next Post