Imej hiasan via Bing Image Creator |
PETALING JAYA: Individu yang dilantik sebagai pengetua terbukti mencapai tahap kompetensi pemimpin dan sememangnya layak menentukan sukatan pelajaran mengikut keperluan sekolah serta pelajar, kata ahli akademik.
Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, cabaran dihadapi setiap sekolah berbeza dan ia lebih difahami pengetua yang ‘turun padang’ setiap hari berbanding pegawai atasan.
“Bukan hanya mengurus, tetapi memimpin (sekolah). Pengetua patut diberi kuasa merancang apa yang paling baik untuk pelajar sekolah bersama guru kerana mereka lebih mengenali pelajar.
“Tentu segala keputusan yang dibuat nanti mengambil kira nasihat pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), serta sejajar dengan garis panduan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada FMT.
Khamis lalu, Ahli Dewan Negara, Senator Mustafa Musa mencadangkan pengetua diberi kelonggaran atau sedikit kuasa untuk merencanakan sekolah kebangsaan (SK) berdasarkan bakat dan keperluan pelajar.
Pengurus besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka itu berkata, mereka tidak sepatutnya hanya terkongkong dengan sukatan pelajaran dan ‘disuapkan’ pelbagai arahan kementerian sehingga daya kreativiti dan inovasi terkubur kerana terlalu mengejar silibus, secara langsung menambah beban guru.
Sementara itu, Anuar berkata sistem pendidikan negara perlu desentralisasi jika ingin mencapai matlamat meningkatkan potensi, daya saing mahupun kreativiti pelajar dengan lebih berkesan.
Katanya, setiap sekolah mempunyai keperluan berbeza, maka strategi dan perancangan juga perlu berlainan, misalnya bagi yang berdepan pelbagai masalah disiplin dan rancangan pengetua harus menjurus kepada usaha menyelesaikan isu itu dahulu.
“Jika ia tidak selesai, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) juga tidak dapat berjalan lancar kerana guru tidak dapat fokus. Manakala bagi sekolah yang tiada masalah sedemikian, tumpuan boleh diberi kepada usaha untuk menonjolkan bakat pelajar.
“Ada sekolah yang berada di kawasan pedalaman mungkin berdepan isu tidak hadir sekolah kerana jarak rumah terlalu jauh, maka mereka perlu selesai isu pendidikan setempat,” katanya.
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim, pula berpandangan kerajaan wajar menjenamakan semula SK menerusi pemberian kuasa autonomi kepada pengetua untuk menangani trend penurunan kadar kemasukan pelajar.
Katanya, dengan itu pengetua dapat berperanan menyesuaikan kurikulum mengikut bakat murid.
“Misalnya SPM memberi penekanan khusus kepada kepentingan penguasaan bahasa Melayu (BM), maka program dwibahasa (DLP) adalah satu kelebihan. Seharusnya pengetua membenarkan mata pelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris (BI).
“Seseorang perlu mendapatkan kredit BM untuk menjadi doktor namun perlu mahir kedua-dua bahasa jika ingin menjadi peguam. Lembaga profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perakaunan pula menjalankan peperiksaan dalam BI,” katanya.