Anak tidak boleh masuk MRSM jika ibu bapa disenarai hitam Mara - Rubiah

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, bagaimanapun tindakan itu hanya bersifat sementara. - Gambar fail


KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menetapkan syarat anak tidak boleh memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) jika ibu bapa disenarai hitam kerana gagal melunaskan hutang dengan agensi itu.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, bagaimanapun tindakan itu hanya bersifat sementara.

“Berkaitan sudut senarai hitam, untuk makluman ia bersifat sementara. Peminjam yang tidak bayar maksudnya ibu bapa (membuat pinjaman) usahawan contohnya untuk memastikan sistem perniagaan dapat dinaik taraf (akhirnya disenarai hitam kerana tidak bayar).

“Namun begitu, sistem senarai hitam ini kita kenakan apabila tiga bulan tidak bayar, namun ia bersifat sementara. Tujuannya kita hendak peminjam datang jumpa Mara dan selesaikan isu itu (tidak bayar pinjaman).

“Kita tidak mahu perkara itu (tidak bayar pinjaman) berlanjutan (dan mahu) selesaikan. Kalau tidak mampu bayar, (mereka boleh buat pilihan) berapa mampu bayar, buat adjustment (penstrukturan) balik, pokoknya dia bayar pinjaman Mara.

“Kalau dia (ibu bapa) sudah bayar balik dan kebanyakan kes akan bayar dan senarai hitam itu secara automatik tidak ada lagi, akan dikeluarkan (daripada senarai hitam). Sebab itu sudut senarai hitam itu hanya sementara,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai syarat kemasukan ke MRSM serta perancangan kementeriannya untuk hapus senarai hitam ibu bapa yang meminjam dengan agensi terlibat bagi memberi peluang kepada anak-anak memohon kemasukan ke sekolah berkenaan.

Rubiah menambah, secara asasnya kemasukan ke MRSM terbuka kepada semua warganegara, namun kecemerlangan akademik perkara utama yang ditekankan.

“Keutamaan kita adalah (pelajar yang memohon) mestilah cemerlang dalam ujian kelayakan ke MRSM (UKKM),” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan kategori pelajar yang memasuki sekolah berkenaan dibahagikan kepada tiga iaitu B40, M40 dan T20 yang mana layanan diterima adalah tidak sama.

“Layanan diberikan kepada (kategori pelajar B40, M40 dan T20) tidak sama. Maksudnya layanan dari sudut akademik sama tetapi dari sudut (lain) kita wujudkan bayaran sedikit kepada golongan M40 dan T20 untuk memenuhi beberapa keperluan dalam pendidikan.

“Bagi B40 yang tidak mampu (pula) kita ada program khas yang kita namakan Program Budi. Bagi program ini Mara akan berikan tajaan sepenuhnya kepada pelajar B40 yang layak,” katanya. - Sinar Harian

Previous Post Next Post