Namun, para pakar pendidikan menyarankan agar ibu bapa mempertimbangkan aspek emosi dan kesediaan anak sebelum mengambil keputusan besar ini.
Menurut Prof Madya Dr Siti Noor Ismail, Pengerusi Program Pasca Siswazah Luar Kampus di Universiti Utara Malaysia (UUM), sekolah berasrama penuh memberikan manfaat besar, termasuk persekitaran pembelajaran yang kondusif dan peluang biasiswa yang lebih luas.
“Sekolah berasrama penuh terkenal dengan pencapaian akademik yang cemerlang dalam peperiksaan seperti SPM. Suasana ini menggalakkan pelajar untuk berusaha gigih,” katanya.
Namun, beliau turut mengingatkan bahawa terdapat kanak-kanak yang lebih sesuai belajar di sekolah harian biasa atas pelbagai faktor.
“Ada ibu bapa yang lebih suka memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak secara langsung di rumah,” tambahnya.
Prof Madya Kehormat Dr Mohd Zarawi Mat Nor dari Jabatan Pendidikan Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), pula menegaskan bahawa kematangan fizikal, kognitif, emosi, dan sosial anak harus diberi perhatian sebelum membuat keputusan menghantar mereka ke asrama.
“Penilaian ini penting kerana kehidupan di asrama memerlukan ketahanan emosi dan kemampuan untuk berdikari. Jika anak tidak bersedia, mereka mungkin menghadapi masalah seperti tekanan emosi atau menjadi mangsa buli,” jelas Dr Mohd Zarawi.
Beliau turut memberi amaran bahawa keputusan menghantar anak ke asrama secara paksaan boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan akademik dan sahsiah mereka.
“Tinggal di asrama memerlukan disiplin dan kemandirian yang tinggi, dan anak yang kurang matang mungkin tidak mampu berdikari kerana selama ini kehidupan mereka banyak dibantu oleh ibu bapa di rumah,” ujarnya.
Menyoroti pro dan kontra kehidupan di asrama, Dr Mohd Zarawi menyatakan bahawa asrama mampu mengajar anak untuk berdikari serta memberi peluang untuk bergaul dan belajar dalam persekitaran yang kondusif.
Namun, beliau mengingatkan ibu bapa untuk menilai mental dan emosi anak terlebih dahulu.
“Pastikan anak-anak bersedia secara fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran hidup di asrama. Keputusan yang terburu-buru tanpa mengira kesediaan mereka hanya akan menjejaskan perkembangan mereka,” tegas beliau.
Di tengah-tengah pendapat yang pelbagai ini, para pakar bersetuju bahawa setiap anak adalah unik dan keperluan mereka berbeza.
Justeru, ibu bapa disarankan supaya membuat penilaian yang teliti agar keputusan yang dibuat mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada anak-anak, bukan hanya dalam aspek akademik tetapi juga dalam pembangunan emosi dan sosial mereka.