Wajarkah kuasai 3M sebelum masuk Tahun Satu?

Penguasaan awal 3M memudahkan peralihan kanak-kanak ke sekolah rendah kerana kurikulum awal sekolah sering memfokuskan kepada kemahiran ini. Foto hiasan


ISNIN lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan seramai 122,000 murid Tahun Satu sesi akademik tahun ini di seluruh negara dikesan masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). 

Jumlah itu mewakili 27.5 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu yang berdaftar di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan dengan seramai 62,928 daripada keseluruhan murid perlu mengikuti program intervensi belum menguasai literasi dan numerasi di tahap penguasaan minimum iaitu Tahap Penguasaan 1. 

Fadhlina berkata, antara punca yang menyumbang kepada perkara itu adalah keciciran pembelajaran semasa pandemik Covid-19, kemiskinan selain anak-anak keperluan khas. 

Program Intervensi Literasi dan Numerasi yang bermula Ogos lepas dilaksanakan bagi membantu murid-murid menguasai kemahiran 3M. 

Bagaimanapun, pakar pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berpendapat, adalah tidak adil bagi murid Tahap Satu yang masih belum menguasai 3M dan diasingkan selepas disaring tiga bulan persekolahan dan ditempatkan melalui program pemulihan atau intervensi. 

Beliau berkata, kumpulan murid berkenaan tidak boleh dianggap tercicir atau lemah kerana ia menyimpang dari dasar pendidikan negara. 

Ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menganggap murid-murid tersebut wajib menguasai 3M sebelum masuk sekolah rendah kerana sistem pendidikan negara tidak mewajibkan pembelajaran prasekolah. 

Menerusi dokumen kurikulum standard sekolah rendah (KSSR) 2017 pula menetapkan tempoh tiga tahun iaitu tahap satu di sekolah rendah (Tahun Satu hingga Tiga) adalah masa yang disediakan untuk murid menguasai 3M. 

Isu ini turut mendapat reaksi daripada orang ramai yang mempunyai hujah dan pendapat tersendiri. 

SOKONG 

Menyokong perkembangan pembelajaran 

Menguasai 3M sebelum memasuki sekolah rendah adalah satu kelebihan, namun ia bergantung kepada individu dan pendekatan pendidikan keluarga serta sekolah. 


Mazliza 

Penguasaan awal 3M memudahkan peralihan kanak-kanak ke sekolah rendah kerana kurikulum awal sekolah sering memfokuskan kepada kemahiran ini. 

Dengan pengetahuan asas, mereka dapat memberi tumpuan kepada pelajaran yang lebih kompleks seperti sains, moral dan kemahiran sosial tanpa perlu bimbang tentang asas 3M. 

Kanak-kanak yang sudah mampu membaca dengan baik akan lebih mudah mempelajari subjek lain kerana kebanyakan maklumat diajar melalui bahan bacaan. 

Begitu juga, kemahiran mengira yang kukuh membolehkan mereka memahami konsep matematik yang lebih kompleks. 

Apabila kanak-kanak memasuki sekolah tanpa tekanan untuk 'mengejar' rakan-rakan mereka yang sudah fasih dalam 3M, mereka mungkin berasa lebih tenang dan tidak mudah stres. 

Ini dapat meningkatkan minat belajar sepanjang tempoh persekolahan. 

Apa yang lebih penting ialah pendekatan yang seimbang antara persiapan akademik dan perkembangan emosi kanak-kanak. 

- Guru pemulihan, Mazliza Musa, 40 

Siapkan diri sebelum masuk alam mencabar 

Anak-anak memang sepatutnya menguasai 3M untuk membantu mempersiapkan diri ke arah pendidikan formal dan memasuki alam sekolah rendah yang mencabar. 

Danial

Tiga perkara tersebut merupakan kemahiran asas kepada perkembangan pembelajaran murid. 

Silibus mata pelajaran di Malaysia agak tinggi arasnya untuk sekolah rendah, sekurang-kurangnya mereka sudah mempunyai asas apabila masuk ke Tahun Satu yang akan menggunakan KSSR di mana ia memerlukan kemahiran 3M. 

Selain itu, anak yang menguasai 3M mampu mengikuti silibus mata pelajaran membabitkan bahasa, sains dan matematik. 

Kaedah pengajaran dan pembelajaran pula perlu disesuaikan dengan keperluan pelbagai kumpulan murid untuk meningkatkan penguasaan 3M contohnya, mengajar di kelas dengan kaedah lebih kreatif bagi menarik minat pelajar menguasai kaedah berkenaan.- Penulis, Danial Shankar, 21 

BANGKANG 

Dedah 3M hanya apabila masuk Tahun Satu 

Penguasaan 3M sepatutnya didedahkan dan ditekankan kepada murid hanya mula memasuki Tahun Satu. 


Faznin

Bagi saya, tidak wajar untuk mewajibkan anak menguasai kemahiran 3M awal kerana sepatutnya kerajaan perlu perkasakan sistem pendidikan peringkat prasekolah. 

Pada peringkat itu, kanak- kanak diterapkan asas untuk pembelajaran, tingkah laku dan kesejahteraan umum. 

Perkara ini bagi memberi semangat untuk belajar, mengembangkan kemahiran sosial dan menggalakkan perkembangan kemahiran motor serta deria halus. 

Isu keciciran 3M hal biasa dibincangkan sebelum ini, namun ia semakin hangat apabila sistem pendidikan memilih pembelajaran dalam talian susulan pandemik Covid-19. 

Hal ini jelas terlihat dalam kalangan murid yang datang daripada keluarga miskin dan tinggal di pedalaman. 

Ibu bapa berkemampuan boleh mengajar atau menghantar anak mengikuti kelas persendirian, tetapi keluarga miskin tidak mampu berbuat demikian. 

Apa yang perlu masyarakat fahami adalah setiap murid memiliki keupayaan berbeza. 

Kena sedar, tidak semua kanak-kanak ada kemampuan yang sama. Yang cepat pandai, baguslah. Mana yang belum, kita perlu didik secara bertahap. 

- Tenaga pengajar, Faznin Aziz, 40 

Murid capai kematangan berbeza 

Kanak-kanak mencapai kematangan penguasaan membaca, menulis atau mengira pada kadar yang berbeza. 

Farah Nur Hidayah

Tekanan untuk menguasai 3M sebelum waktunya boleh menyebabkan stres atau rasa kecewa terutamanya jika kanak-kanak tersebut belum bersedia secara emosi atau kognitif. 

Penguasaan 3M perlu dilaksanakan dalam suasana yang menyenangkan dan bebas tekanan. 

Pada peringkat pra sekolah, banyak pakar pendidikan menekankan pentingnya pembelajaran melalui bermain. 

Mengharapkan kebolehan yang berlebihan sebelum kanak-kanak memasuki sekolah rendah bukan sahaja tidak realistik tetapi ia boleh menghalang perkembangan keseluruhan mereka. 

Beri sokongan dan galakan bersesuaian dengan peringkat perkembangan kanak-kanak supaya mereka boleh belajar dengan cara positif dan menyeronokkan. 

Sepatutnya, murid tahap satu iaitu Tahun Satu hingga Tiga seharusnya diberikan ruang untuk menguasai kemahiran asas 3M dan tidak dibebankan dengan mata pelajaran aras tinggi termasuk pengenalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). 

- Pengurus Harta, Farah Nur Hidayah Samirin, 40

 

Previous Post Next Post