PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan tiada mana-mana penjawat awam akan menerima 'layanan dua darjat' sekiranya mereka enggan menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata mereka yang berhasrat kekal dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) akan tetap dilayan seperti penjawat awam lain.
"Tidak (dilayan seperti dua darjat), seperti mana yang saya nyatakan tadi, sekiranya mereka memilih SSPA, inilah (pelarasan gaji) yang mereka akan dapat sebagaimana saya terangkan sebelum ini.
"Bagi mereka yang mahu kekal dengan SSM, mereka tetap dilayan seperti penjawat awam biasa cuma dari segi gajinya mungkin tidak akan ada perubahan sebab gaji mereka akan ikut semasa SSM dahulu," katanya ditemui selepas menandatangani opsyen SSPA di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 75 warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menandatangani SSPA.
Media sebelum ini melaporkan penjawat awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula hari ini hingga 30 November ini untuk memilih sama ada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Disember ini.
Pelaksanaan SSPA juga tidak akan menjejaskan pencen pegawai awam yang berstatus tetap dan pelarasan gaji baharu hanya terpakai kepada mereka yang memilih opsyen SSPA sahaja.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, beliau yakin semua penjawat awam yang masih dalam perkhidmatan akan memilih untuk menandatangani SSPA.
Jelasnya, SSPA memberi pulangan yang lebih baik kepada penjawat awam dari segi gaji serta laluan kerjaya lebih baik.
"Sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, saya tidak teragak-agak untuk menandatangani opsyen ini kerana memang ia memberi sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang.
"Begitu juga dengan pembangunan kerjaya dititik beratkan untuk memastikan penjawat awam berada dalam tahap kompetensi yang baik serta dapat melaksanakan tugas dengan lebih berjaya lagi di masa hadapan," katanya.
Mereka tak terima SSPA, tak dapat pelarasan gaji
Mereka yang tidak berpindah kepada SSPA, tidak akan mendapat pelarasan gaji manakala pencen juga akan mengikut gaji ketika dalam SSM.
"Apabila memilih SSPA, dengan pelarasan gaji yang lebih baik, pencennya sudah pasti akan lebih baik. Sebab itulah saya sangat percaya dan yakin keseluruhan penjawat awam akan menandatangani opsyen SSPA," katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, pengumuman berkaitan penjawat awam dalam Belanjawan 2025 membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan berkenaan.
"Walaupun kerajaan sudah memberi pelarasan gaji, kerajaan masih lagi memberikan bantuan khas untuk persekolahan, untuk persiapan pada hari raya.
"Jadi di sini dapat kita lihat bahawa keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam sangat tinggi dan inilah saya minta supaya penjawat awam membalas dengan sesuatu yang lebih baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.