Pengambilan Khas Guru Sarawak: Roland Sagah kecewa SPP buka untuk seluruh negara

Roland (tengah) bersama Fazzrudin (kanan) dan Raden semasa sidang akhbar di Sibu hari ini.


SIBU: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, menyatakan kekecewaannya terhadap keputusan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang membuka permohonan Pengambilan Khas Guru Sarawak kepada pemohon dari seluruh negara.

Beliau berpendapat bahawa inisiatif tersebut sepatutnya dikhaskan untuk rakyat Sarawak. 

“Sudah tentu, kuasa terletak pada tangan mereka, dan autoriti terletak pada SPP. Kami tiada kuasa dalam hal ini, tetapi saya rasa mereka tidak mengotakan janji mereka,” katanya dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini. 

Sementara itu, ketika diminta untuk mengulas lebih lanjut mengenai hantaran viral dalam talian yang mendakwa lebih ramai bukan rakyat Sarawak disenarai pendek untuk temu duga berbanding rakyat Sarawak di bawah inisiatif ini, Sagah menafikan khabar angin tersebut, dengan menyatakan bahawa data belum didedahkan. 

Katanya, Sarawak tidak pernah menghalang SPP untuk menemu duga calon dari negeri lain, namun seharusnya ia dilakukan pada waktu yang berbeza untuk memastikan keutamaan diberikan kepada rakyat Sarawak. 

“Itulah sebabnya saya tidak mahu mereka melakukan ini (membukanya kepada seluruh Malaysia). Mengatakan bahawa terdapat lebih ramai bukan rakyat Sarawak tidak adil. Kita perlu konsisten dan berpatutan. 

“Kita masih belum tahu berapa ramai yang akan dipilih untuk mengisi jawatan tersebut. Hanya pada akhir proses kita akan tahu,” tegasnya. 

Beliau berharap 100 peratus daripada 1,733 jawatan kosong akan diisi oleh anak Sarawak, dan SPP akan melakukan yang terbaik untuk bekerjasama dengan semua calon dari Sarawak. 

“Oleh itu, kami meminta agar perkara ini dikhususkan hanya untuk Sarawak, kerana sejak dari awal lagi, kami telah menyatakan bahawa pengambilan ini adalah untuk Sarawak. Jadi, kami mahu mengekalkan ia begitu. 

“Ini (pengambilan seluruh negara) telah menyebabkan ketidakpuasan hati di kalangan pemohon,” tambahnya. 

Inisiatif ini telah menerima lebih daripada 15,000 permohonan, dan hanya kira-kira 2,000 yang telah disenarai pendek untuk temu duga secara bersemuka, yang akan diadakan di tiga lokasi iaitu Kuching, Sibu, dan Miri. 

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, dan Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Raden Khairulzaman Raden Bustari. 

Sebelum ini Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak telah menghebahkan iklan pengambilan khas guru untuk rakyat Sarawak secara besar-besaran bermula 1 Ogos lalu dan berakhir pada 23 Ogos. 

Daerah Serian, Daro, Kapit, Subis, Saratok, dan Betong mengalami kekurangan yang paling ketara, masing-masing dengan lebih 100 kekosongan. 

Kekurangan terbesar adalah dalam subjek khusus seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral, Prasekolah, Bahasa Melayu, dan Pendidikan Pemulihan, selain kekosongan dalam 22 subjek lain, termasuk jawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). 

Pengisian jawatan itu sepatutnya ditawarkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan SPP bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di semua 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Sarawak. 

Pengambilan khas guru baru itu adalah terbuka kepada semua graduan ijazah sarjana muda pendidikan dan juga graduan ijazah sarjana muda bukan pendidikan. 

Permohonam dibuka mulai 1 Ogos hingga 23 Ogos 2024. 

Calon yang berminat perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian MySPP menerusi https://myspp.spp.gov.my/myspp/index.php. 

Mengikut jadual asal, sesi temu duga dilaksanakan pada minggu kedua September 2024 manakala keputusan akan diumumkan pada Oktober atau November, dengan penempatan disasarkan pada November dan Disember. 

Oleh TARANI LANTING

 

Previous Post Next Post