Pakar gesa MRSM, Sekolah Berasrama diwartakan Untuk Golongan Miskin


PETALING JAYA, 14 Oktober 2024 – Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad, menggesa agar kerajaan mengembalikan sekolah berasrama harian dan penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kepada objektif asalnya, iaitu memberi peluang pendidikan kepada pelajar miskin.

Beliau menyarankan agar kerajaan mewartakan institusi-institusi tersebut khusus untuk golongan kurang berkemampuan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini. Langkah ini diharap dapat menangani masalah keciciran pembelajaran yang melibatkan 435,000 murid sekolah rendah dan menengah tahun lalu.

Menurut Dr. Anuar, kemiskinan merupakan faktor utama keciciran, di samping isu seperti jarak rumah yang jauh dari sekolah. “Sekolah berasrama ditubuhkan untuk membantu murid yang memerlukan bantuan, bukan untuk semua murid,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan keperluan pewartaan ini sebagai langkah untuk membantu pelajar miskin mendapatkan pendidikan dalam persekitaran yang lebih kondusif. Dr. Anuar menegaskan bahawa institusi ini bukan diskriminasi terhadap murid kaya, tetapi adalah usaha menangani ketidaksamarataan dan memberi peluang kepada mereka yang memerlukan.

Dr. Anuar Ahmad dalam ulasannya turut menzahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dilihat telah tersasar daripada objektif asal penubuhannya. Menurut beliau, MRSM yang sepatutnya menempatkan pelajar daripada golongan miskin kini turut diisi oleh anak-anak pegawai tinggi kerajaan serta pelajar daripada keluarga yang lebih berada.

Pada asalnya, MRSM dan sekolah berasrama lain dibina untuk memberi peluang kepada pelajar miskin yang tidak mempunyai akses kepada suasana pembelajaran kondusif di rumah. Dr. Anuar menjelaskan bahawa murid dari golongan miskin sering terdedah kepada keadaan rumah yang tidak sesuai untuk belajar, serta diet pemakanan yang tidak sihat. Oleh sebab itu, institusi seperti MRSM diwujudkan bagi menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk pelajar-pelajar ini.

Namun kini, katanya, MRSM tidak lagi khusus untuk pelajar yang benar-benar memerlukan, sebaliknya turut menempatkan pelajar dari keluarga yang mampu menyediakan persekitaran dan pemakanan yang baik di rumah. Ini bertentangan dengan matlamat asal MRSM untuk membantu golongan miskin keluar daripada kitaran kemiskinan melalui pendidikan yang lebih baik .

 



Previous Post Next Post