Murid Tahun Satu maut, motosikal dirempuh van

 

Van dinaiki tiga lelaki remuk di bahagian depan selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal dinaiki tiga kanak-kanak menyebabkan seorang daripadanya maut. - Foto ihsan polis

BALING: Seorang murid Tahun Satu maut selepas motosikal ditunggang bersama abang dan rakannya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Baling/Weng/Tanjung Pari dekat Kampung Charok Putih di sini, petang tadi.

Mangsa berusia tujuh tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bayu itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Abangnya berusia 10 tahun yang menunggang motosikal itu cedera di leher dan luka pada anggota badan, manakala rakan mereka juga berusia 10 tahun patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kemalangan itu jam 3.35 petang dengan motosikal terbabit difahamkan milik bapa saudara dua beradik itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati van dinaiki tiga lelaki yang juga peniaga pasar malam berusia antara 22 hingga 46 tahun dari arah Kampung Landai, Sik ke Kampung Bandar, manakala motosikal dari arah Kampung Charok Putih menghala ke Kampung Surau.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika van dipandu lelaki 26 tahun yang bergerak di laluan lurus tidak sempat mengelak motosikal mangsa yang secara tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri.

"Van merempuh di bahagian hadapan kanan motosikal, menyebabkan penunggang motosikal melambung dan jatuh ke dalam longkang di kanan jalan, manakala dua lagi kanak-kanak yang membonceng tersepit pada tayar van," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kanak-kanak yang cedera dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

"Pemandu van luka di tangan dan kaki kanan, manakala penumpang tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Previous Post Next Post