Guru tipu MC: NUTP bidas tuduhan Cuepacs


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyifatkan, kenyataan oleh mana-mana pihak yang mengaitkan guru sebagai golongan penjawat awam yang paling ramai mengambil sijil cuti sakit (MC) tanpa disertakan data sahih dan bukti kukuh adalah sangat tidak bertanggungjawab. 

Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon, berkata ia secara langsung mempertikai profesionalisme 450,000 guru yang sangat cemerlang menjalankan tugas mendidik anak bangsa dan secara tidak langsung mempertikai tahap profesionalisme serta etika kerja Pegawai Perubatan yang komited menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

Fouzi berkata, Perintah Am 15 Bab C memperuntukkan Ketua Jabatan boleh menggunakan budi bicaranya untuk menerima MC yang dikeluarkan doktor swasta bagi tujuan meluluskan cuti sakit.

Peraturan berkaitan penerimaan MC daripada doktor swasta diperjelas melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2006, iaitu surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, JPA.SARAAN (S) 43/34. Jld.3(24) bertarikh 18 Februari 2022 dan kerajaan membuat Penambahbaikan Peraturan Pengesahan Sijil Sakit Swasta yang Melebihi 15 Hari Bagi Rawatan Pesakit Luar oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

"Dalam konteks guru, MC akan diberikan kepada seseorang guru oleh Pegawai Perubatan yang bertauliah sama ada yang berkhidmat di hospital atau klinik kerajaan atau pun Pegawai Perubatan yang berkhidmat di hospital atau klinik swasta.

"Sijil sakit (MC) ini diberikan selepas Pegawai Perubatan mendapati seseorang guru itu tidak sihat untuk menjalankan tugasnya dengan sempurna untuk tempoh tertentu.

"Bagaimanapun, jika didapati benar ada dalam kalangan guru yang mengambil MC palsu, sila ambil tindakan berdasarkan undang-undang, peraturan atau seksyen yang sedia ada," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Fouzi mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bahawa golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terbabit dalam salah laku memalsukan MC, selain ada guru yang dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepentingan peribadi.

CUEPACS dilaporkan berkata, setiap tahun, kira-kira satu hingga dua peratus daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi MC palsu, selain sengaja menggunakan cuti kecemasan semata-mata mahu melanjutkan tempoh bercuti.

Pada masa sama, Fouzi berkata, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 (Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan), NUTP berterima kasih kepada kerajaan MADANI kerana terus mengiktiraf peranan dan sumbangan guru dengan mengekalkan laluan kenaikan pangkat secara "time-based" secara 8863 (merujuk kepada tempoh tahun bagi kenaikan pangkat).


Previous Post Next Post