SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti masalah dibangkitkan berhubung penempatan semula guru, penyelarasan kurikulum Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina atau SJK Tamil, kekurangan guru, perpindahan sekolah dan isu guru ganti.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kesemua isu tersebut akan ada cadangan penyelesaian demi masa depan anak Malaysia.
"Saya berjumpa pimpinan tertinggi dua pertubuhan pendidikan bahasa Cina, kelmarin (Rabu).
"Perwakilan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zang), diketuai Pengerusinya, Datuk Tan Yew Sing dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang diketuai Pengerusinya, saudara Cheah Lek Aee," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Menurutnya, sebagai Menteri Pendidikan, beliau mengambil pendirian untuk berdialog dan terus melibatkan diri agar jalan penyelesaian dipertemukan setelah perbezaan dirungkaikan.
Tambah beliau, suasana semasa perbincangan itu tenang meskipun mempunyai pandangan yang berbeza.
"Lebih banyak persamaan daripada perbezaan. Apa yang pasti, jika pun ada pandangan yang berbeza, ia diketengahkan secara beradab dan berhemah.
"Maka saya bertambah yakin bahawa masyarakat Malaysia semakin matang untuk merungkaikan perbezaan pandangan tanpa perlu menghasut sentimen dan melaga-lagakan hubungan kaum," ujarnya.