Berucap merasmikan pertandingan Inovasi Sosial Kesihatan Mental di Serdang pada Rabu, beliau juga menegaskan pihaknya turut memandang serius peningkatan kes pelajar dikesan mempunyai idea untuk membunuh diri
"Saya khuatir dengan bilangan anak-anak kita yang membuat percubaan dan juga mempunyai ideation, suicide ideation dan saya lihat sendiri bagaimana trend "barcode" ... maknanya perkara (ini) perlu kita ambil secara serius dan tangani dengan betul.
"Kementerian Pendidikan telah melaksanakan beberapa langkah intervensi antaranya pelaksanaan profiling di sekolah mengenai psikososial murid bagi membangunkan ekosistem baik dan selamat untuk mereka," katanya dipetik.
Fadhlina sebelumnya mengulas hasil dapatan dari Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) oleh Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.
Tinjauan itu menunjukkan bilangan pelajar yang mempunyai idea untuk membunuh diri meningkat kepada 13.1% pada 2022 melibatkan 4,300 orang berbanding 10% pada lima tahun sebelumnya.
Sementara itu menurut Fadhlina, usaha menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar memerlukan konsistensi serta kesungguhan kerana melibatkan jiwa manusia.
Justeru beliau menyeru peranan kaunselor dan ibu bapa dalam membendung tindakan sedemikian di peringkat awal.
"(Sekolah perlu) ada ekosistem yang memberikan sokongan, ekosistem yang anak-anak selamat untuk bercerita, meluahkan perasaan dan berkongsi perasaan masing-masing.
"Pembimbing rakan sebaya (PRS) juga amat penting dan perlu diperkasakan lagi bagi memastikan ekosistem di sekolah selamat serta menarik.
"Bila kita membesar, kita bersekolah dan bekerja, PRS ini sebahagian daripada hidup kita dan sebab itu pemilihan PRS (penting). (Mereka) rakan-rakan yang akan membentuk siapa diri kita di masa hadapan, hari ini dan esok," tambahnya.