Cikgu Din ditempatkan di sekolah berhampiran isteri - Fadhlina

 


NIBONG TEBAL: Seorang guru lelaki dikenali Cikgu Din yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isteri seperti tular di media sosial, baru-baru ini akan ditempatkan di sekolah berhampiran dengan isterinya buat sementara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata arahan penempatan sementara itu diambil hasil perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan.

Katanya, ia sekali gus membolehkan guru lelaki berkenaan dapat bersama dengan isterinya dalam tempoh sukar ini.

"Pertamanya, kita (KPM) merakamkan ucapan simpati kepada Cikgu Din atas keadaan yang berlaku terhadapnya dan kedua kita akan uruskan dengan sebaik-baiknya (untuk membantu Cikgu Din).

"Buat masa ini, kita bagi ruang untuk dia bersama isterinya melalui arahan penempatan sementara dalam tempoh yang amat memerlukan ini.

"Jadi kita doakan sekali lagi supaya Cikgu Din diberikan kekuatan dan kesabaran manakala isterinya juga diberikan kesembuhan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan seorang guru lelaki yang mengajar di Sarawak ingin bertukar ke Semenanjung demi menjaga isterinya yang menghidap kanser.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Terdahulu, KPM dalam kenyataan di FB berkata, tindakan segera memberi bantuan kepada guru berkenaan termasuk diberikan cuti untuk berada bersama isterinya telah diambil.

Satu pertemuan dengan guru itu akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit.

Dalam pada itu, Fadhlina ketika ditanya adakah tindakan itu diambil selepas perkara berkenaan tular di media sosial beliau berkata ia tidak betul.

"Ini tidak betul, saya ingat proses perbincangan dan juga bagaimana kita menawarkan alternatif-alternatif pada Cikgu Din telah berlangsung sebelum itu lagi.

"Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana perhatian itu telah pun sampai dan kita lihat begitu ramai masyarakat yang empati kepada keadaan Cikgu Din.

"Kita akan ambil perhatian penuh kepada semua (kes bukan sahaja berkaitan Cikgu Din) berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang ada," katanya.

Baru-baru ini pengguna FB Harima Abd Rahman berkongsi kisah Cikgu Din yang dibelenggu resah dan harapan untuk bertukar ke Semenanjung demi isteri, Nur Atiqah My Yusoff yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.

Guru yang bertugas di Sarawak itu juga sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri, namun membuat permohonan pertukaran apabila keadaan isteri semakin memburuk.

Bagaimanapun, permohonan itu tidak berjaya atas alasan EgTukar hanya boleh dibuka kepada guru tetap yang sudah berkhidmat selama tiga tahun dan didakwa perkara itu juga menyebabkan Cikgu Din mempunyai masalah kemurungan.
Previous Post Next Post