Buli: KPM tidak ‘beri muka’ walaupun anak menteri terlibat


Kajang: "Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa buli adalah buli. Tidak kira anak siapapun, anak selebriti, anak menteri sekalipun, buli adalah buli. Jadi kita tidak kompromi dalam soal ini," kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina menegaskan demikian selepas ditanya mengenai dakwaan penyanyi Rustam Mustafah, 51, atau lebih popular sebagai Tam Spider yang kesal pihak sekolah anaknya tidak peka dan tidak mengambil tindakan terhadap masalah buli.

Tam mendedahkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun didakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama, malah pendedahannya mendorong pengakuan sama dibuat beberapa ibu bapa lain.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan perkara itu dan tindakan tegas juga sudah diambil bersama pihak berkuasa. Menurutnya, terdapat juga garis panduan yang jelas dalam menangani gejala buli.

"Jadi atas sebab itu, seluruh ekosistem persekolahan harus dipastikan selamat. Mana-mana pihak yang sudah membuat tindakan kepada pihak autoriti, khususnya pihak polis, kita serahkan kepada pihak autoriti untuk melakukan siasatan.

"Sekali lagi saya ingin menegaskan, kita tidak kompromi dalam soal buli, tindakan tegas akan diambil sebab siasatan kita lakukan dan kita serahkan kepada autoriti untuk melakukan siasatan lanjut," katanya.

Beliau ditemui pada perasmian program Tekad Reformasi Pendidikan di Dewan Sri Cempaka, Saujana Impian, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Semalam, media melaporkan, polis sudah membuka kertas siasatan kes buli membabitkan anak Tam Spider dan pelajar lain.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman dilaporkan, berkata, lima laporan polis sudah diterima pihaknya berkaitan isu itu setakat semalam.

Previous Post Next Post