Bukan tentera China tetapi pelajar dan pensyarah - Fadhlina



Kepala Batas: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan dakwaan kehadiran tentera dari China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang, Sabtu lalu adalah tidak benar. 

Sebaliknya, Menterinya Fadhlina Sidek berkata, mereka terdiri daripada sekumpulan penuntut termasuk pensyarah dari Naval University of China. 

Beliau berkata, rombongan yang membawa seramai 165 penuntut termasuk pensyarah itu adalah berkaitan program sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China. 

"Pertama yang saya ingin betulkan, ia bukan kehadiran tentera (sebaliknya) kehadiran penuntut (dan pensyarah) universiti dan kenyataan (dakwaan kehadiran tentera) ia sama sekali tidak betul sehingga wujud salah faham. 

"Di sini, saya juga ingin tegaskan kehadiran mereka adalah sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China. 

"Kedua ia adalah program pertukaran kebudayaan dan sukan manakala yang ketiga adalah program yang membabitkan penuntut, malah sekolah persendirian terbabit sudah mendapat kebenaran daripada semua pihak autoriti," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan kehadiran tentera laut China ke Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian), Sabtu lalu. 

Fadhlina berkata, pihaknya memberi perhatian terhadap salah faham yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung perkara itu. 

Katanya, pihak sekolah yang dimaksudkan juga sudah membuat laporan polis bagi mengelak fitnah berpanjangan. 

Sabtu lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan kedatangan kira-kira 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang untuk kunjungan silaturahim. 

Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan. 

Bagaimanapun, lawatan itu mencetuskan kontroversi apabila kunjungan sebahagian daripada anggota tentera laut China berkenaan ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) tular di beberapa platform sosial media.

 

Previous Post Next Post