Bajet 2025: NUTP mohon lima peruntukan khas



Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon lima peruntukan khas bagi meningkatkan perkhidmatan guru dan pendidikan di negara ini menerusi Belanjawan 2025.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata hampir kesemua guru kini bekerja dalam bilik guru yang tidak selesa, selain kekurangan kemudahan seperti komputer untuk melaksanakan tugas mereka. Beliau turut menggesa kerajaan untuk memperuntukkan dana bagi menaik taraf bilik guru dan kantin sekolah demi keselesaan murid.

"Sebelum ini, tidak pernah ada peruntukan khusus untuk menaik taraf kantin sekolah. Maka, diharapkan ada peruntukan tersebut dalam Belanjawan 2025," katanya dalam satu kenyataan kepada Berita Harian, semalam.

Beliau juga menyatakan permintaan supaya kerajaan menyediakan bayaran sekali gus (one-off) kepada guru yang banyak menggunakan duit sendiri bagi melaksanakan tugas rasmi, termasuk perbelanjaan peribadi seperti data internet, peralatan, dan alat tulis. Pengiktirafan kepada guru yang menggunakan sumber sendiri ini dianggap wajar.

Dalam Belanjawan 2024, sektor pendidikan kekal menjadi komponen utama dengan Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi iaitu RM58.7 bilion, meningkat daripada RM55.2 bilion pada 2023. Selain itu, RM654.29 juta diperuntukkan untuk menaik taraf tandas murid dan RM1.9 bilion untuk penyelenggaraan sekolah.

Aminuddin turut menekankan kepentingan peruntukan bagi kursus peningkatan profesionalisme guru, memandangkan mereka memerlukan latihan berterusan untuk memupuk budaya menimba ilmu. Beliau juga menyeru agar kadar pengiktirafan diberikan kepada guru yang menyambung pelajaran dan berjaya memperoleh ijazah sarjana serta doktor falsafah (PhD) semasa dalam perkhidmatan.

Menurut beliau, skim perkhidmatan guru perlu memberi perhatian kepada mereka yang mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi, dan ilmu yang diterima semasa praperkhidmatan sahaja tidak mencukupi dalam era pendidikan masa kini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata peruntukan pendidikan AI perlu dipisahkan daripada peruntukan pendidikan sedia ada bagi mengelakkan gangguan kepada belanjawan seperti yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan 12 (RMK). 

“Jika AI diberi peruntukan khusus, kita dapat meningkatkan prasarana dan menyediakan latihan yang lebih baik kepada pelajar, termasuk mempertingkatkan kelajuan internet.

“Menggunakan peruntukan sedia ada akan memberi kesan negatif kepada program-program Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang telah dirancang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Rabu.

Previous Post Next Post