Bajet 2025 : KPM fokus baiki keseluruhan ekosistem pendidikan


KEPALA BATAS – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi fokus untuk memperbaiki keseluruhan ekosistem pendidikan termasuk memperkenalkan inisiatif baharu menerusi peruntukan yang bakal diperoleh menerusi Bajet 2025 pada 18 Oktober ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya berhasrat menangani isu kekurangan guru di seluruh negara, sekolah daif serta memastikan tiada pelajar tercicir dalam mendapatkan pendidikan.

“Saya bersama Ketua Pengarah, Ketua Setiausaha (KSU) dan seluruh pimpinan KPM melihat bajet ini sangat penting khususnya untuk meletakkan beberapa keperluan-keperluan utama dalam ekosistem pendidikan negara.

“Jadi kalau kita sebut keseluruhan ekosistem pendidikan bermaksud tiada anak-anak yang akan terpinggir termasuk anak-anak keperluan khas

“Selain itu, tumpuan yang akan kita berikan khususnya terkait rapat dengan permohonan-permohonan serta keutamaan yang telah pun dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan kita yakin Insya Allah positif,” katanya kepada pemberita hari ini.

Fadhlina (tengah) merasmikan majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam, Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu Fadhlina merasmikan majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam di sini.

Persidangan bertemakan ‘Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani’ itu di dihadiri 674 pengetua seluruh negara.

Pada majlis itu, Fadhlina menyifatkan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) sebagai rakan sinergi penting dalam usaha memperkukuhkan ekosistem pendidikan negara.

“Saya harap program-program seperti ini diperkukuhkan lagi pada masa hadapan bagi memastikan kesedaran dan pelaksanaan polisi terutamanya hala tuju pendidikan negara yang relevan dan signifikan,” katanya. – MalaysiaGazette

Previous Post Next Post