122,000 murid tahun satu masih belum kuasai 3M – Fadhlina


KAJANG: Seramai 122,000 murid Tahun Satu bagi sesi akademik tahun ini di seluruh negara dikesan masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata antara punca yang menyumbang kepada perkara itu adalah keciciran pembelajaran semasa pandemik COVID-19, kemiskinan selain anak-anak keperluan khas.

“Angka ini sifatnya dinamik. Sebaik saja mereka menguasai melalui intervensi yang dibuat baik di peringkat negeri mahu pun di peringkat Persekutuan serta program Anak Kita, nombor ini akan berubah dan bertambah baik,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Tekad Reformasi Pendidikan yang julung kali diadakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri Selangor yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Program Intervensi Literasi dan Numerasi yang bermula Ogos lepas dilaksanakan bagi membantu murid-murid menguasai kemahiran 3M.

Mengenai Program Tekad Reformasi Pendidikan, inisiatif ini mengetengahkan usaha memperkasa pendidikan di Selangor, selari dengan usaha reformasi pendidikan dilaksanakan KPM.

Program ini bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai negeri terdepan dalam menyediakan pendidikan berkualiti melalui pelbagai inisiatif yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan dan inovasi pendidikan.

Previous Post Next Post