UPSR bukan penyelesaian kepada masalah 3M - NUTP

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mahu Kementerian Pendidikan (KPM) konsisten tidak meneruskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata ini kerana jika diteliti, matlamat pendidikan kebangsaan adalah untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi emosi, jasmani, rohani, intelek dan sosial.

"Tujuan pembelajaran bukan untuk lulus cemerlang UPSR atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), tetapi untuk melahirkan generasi yang boleh memberikan sumbangan kepada negara dalam pelbagai aspek dan bidang dan bukannya handal dalam aspek kognitif sahaja.

"Oleh itu, kita tidak mahu sistem persekolahan yang berasaskan peperiksaan muncul semula dan peratus cemerlang UPSR dan PT3 kembali menjadi fokus semua pihak," katanya kepada BH hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).

Katanya, perbincangan bersama KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menyedari isu 3M antara punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Semalam, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyerahkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, KPM dan kerajaan untuk membuat keputusan terbaik berhubung cadangan mewujudkan semula UPSR.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata jika isu ramai murid yang tidak menguasai literasi dan numerasi yang perlu diselesaikan, hanya perlu fokus dan perkasakan sistem prasekolah di negara kerana bukan UPSR yang boleh selesaikan isu tersebut.

"Bagi pendapat saya, dalam isu ini perlu memberi ubat yang sesuai dengan penyakit," katanya.

Previous Post Next Post