Tiga sekolah ditutup, laksana PdPR hari ini



JOHOR BAHRU: Tiga sekolah di kawasan Kampung Maju Jaya di Jalan Seelong-Senai di sini, melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), hari ini, susulan pencemaran bau yang berlaku semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata tiga sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya dan dua sekolah swasta iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah.

Beliau berkata, tempoh pelaksanaan PdPR itu akan bergantung kepada situasi dan laporan semasa.

"SK Kampung Maju Jaya membabitkan 974 murid dan 64 guru Sekolah Rendah Islam Hidayah dengan 1,232 murid serta 92 guru, manakala Sekolah Menengah Islam Hidayah mempunyai 807 pelajar dan 75 guru.

"Setakat ini, tiga sekolah ini akan melaksanakan PdPR pada hari ini saja, bergantung kepada situasi dan laporan semasa," katanya ketika dihubungi.

Pada 3 September lalu, pencemaran bau dilaporkan berlaku di beberapa kawasan perumahan sekitar Sungai Pandan menjejaskan penduduk Kampung Melayu Pandan, Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor mengesan kehadiran gas ammonia pada paras tinggi yang melebihi tahap normal, di sekitar kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan.

Pencemaran bau itu kemudian dilaporkan berlaku di kawasan Taman Perindustrian Tropika, Ulu Tiram dan JAS mendapati sisa kimia buangan yang dikesan di kawasan itu sama dengan sisa kimia buangan di kawasan perindustrian Tiong Nam yang menyebabkan pencemaran bau di Kampung Melayu Pandan.

Semalam, pencemaran bau mengancam penduduk sekitar Kampung Maju Jaya di Jalan Seelong-Senai, Taman Perling dan Bandar Baru Uda pula.

Seramai 21 murid SK Kampung Maju Jaya dilaporkan mengalami gejala ringan termasuk loya akibat terdedah dengan pencemaran bau yang berlaku di kawasan perkampungan itu.

Previous Post Next Post